Home » Langit Terbuka » 1,000 al-Quran untuk rakyat Kenya

1,000 al-Quran untuk rakyat Kenya

Sukarelawan Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar) dan MYCorps Misi Afrika (MYCorps Afrika) berjaya mengumpul RM40,000 untuk membeli 1,000 naskah al-Quran yang diagihkan di madrasah dan masjid di Kenya. Foto : Sinar Harian

KWALE, KENYA – Lebih sebulan yang lalu, Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar) dan MYCorps Misi Afrika (MYCorps Afrika) melancarkan kempen 1,000 naskah Al-Quran di media sosial masing-masing setelah mendapati hampir 400 orang murid di Madrasah Irshad, Kwale, Kenya berkongsi hanya satu Mushaf di dalam usaha mereka menghafaz ayat-ayat suci kitab tersebut.

Kenyataan yang dilkeluarkan Mahar berkata, atas keperihatinan rakyat Malaysia, lebih RM40,000 dapat dikumpulkan dan dengan jumlah tersebut sebanyak lebih 4,000 naskah Al-Quran dapat dibeli.

“Madrasah Irshad di Kwale bukan satu-satunya sekolah agama yang mendapat manfaat dari kempen tersebut, malah beberapa lagi sekolah dan institusi agama di kawasan persekitaran turut menerima faedah dari sumbangan rakyat Malaysia yang amat murah hati.

“Masjid Kunda, Masjid Ngombeni, Madrasah Tiwi, Nur Huda Madrasah Kinango, Tawheed Islamic Centre, Anwar Muslim Academy, Masjid Kiteje, Madrasah Kiteje dan Masjid Nzora di Kwale dengan gembiranya telah menerima al-Quran sumbangan rakyat Malaysia itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain penerima di Kenya, penerima-penerima di negara lain seperti di Zanzibar dan Tanga, Tanzania;

Uganda dan Turkana turut berbesar hati dan bersyukur di atas sumbangan kitab suci tersebut.

Pengajar Madrasah Irshad, Hassan Ali Mwayoy berkata, sekarang pelajar akan lebih mudah belajar dan menghafaz ayat-ayat suci al-Quran berbanding dahulu, di mana mereka terpaksa berkongsi senaskah di kalangan hampir 400 orang pelajar.

“Mereka amat bersyukur kepada ALLAH di samping amat berterima kasih dengan rakyat Malaysia yang perihatin dengan keadaan dan kedaifan mereka.

“Kami tergerak untuk melancarkan Kempen 1,000 Al-Quran baru-baru ini apabila menerima laporan dari anggota MYCorps Misi Afrika yang memaklumkan keadaan di Madrasah Irshad,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Mahar, Jismi Johari berkata, pada mulanya mereka hanya bercadang untuk membantu madrasah tersebut sahaja.

“Apabila dimaklumkan banyak lagi madrasah, pusat pembelajaran dan masjid yang memerlukan kitab suci tersebut, kami membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang ingin turut menyumbang.

“Selepas ini, Mahar akan melancarkan Kempen 10,000 Al-Quran, selama setahun. Al-Quran yang dibeli menerusi inisiatif ini akan dihantar kepada umat Islam di negara-negara dunia ketiga dan yang memerlukan di seluruh dunia,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *