Home » Citra Yadim » 1,000 program sepanjang Irsyad 360

1,000 program sepanjang Irsyad 360

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyasarkan sebanyak 1,000 program sepanjang pelaksanaan program Ihya Ramadan Sebulan YADIM (Irsyad 360), kata Yang Dipertuanya Ustaz Nasrudin Hassan.

Menurut Ustaz Nasrudin, Irsyad 360 akan dilaksanakan di seluruh negara oleh pihaknya sama ada di peringkat pusat ataupun negeri negeri.

“YADIM akan berusaha untuk mengimarahkan bulan Ramadan kali ini dengan pelbagai aktiviti di segenap lapisan masyarakat,”.

“Kita tidak akan jadikan Covid-19 sebagai alasan untuk tidak penuhkan Ramadan ini dengan program program yang membawa manfaat kepada semua lapisan masyarakat,”katanya ketika ditemui selepas pelancaran Irsyad 360 di Surau An Najah di sini pada 7 April.

Pelancaran program itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Hadir sama ke majlis ini ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Dalam pada itu Ustaz Nasrudin menjelaskan, antara program yang bakal dilaksanakan pihaknya termasuklah singgah sahur, edaran makanan berbuka puasa, tadarus Al Quran, selain program secara dalam talian.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan penganjuran program oleh pihaknya akan dilakukan dengan mematuhi semua SOP keselamatan dan kesihatan bagi mengelak penularan Covid-19.

Sementara itu, Datuk Dr Zulkifli memuji inisiatif YADIM menganjurkan Irsyad 360 yang menurutnya membuktikan YADIM tidak pernah berhenti daripada melaksanakan gerakan dakwah.

“Kesungguhan YADIM melaksanakan program ini bukan perkara baharu, tetapi diberi nafas baharu, semangat yang baharu, dengan program baharu, yang disesuaikan dengan naratif zaman kita,” ujar beliau.

Dalam majlis ini juga, YADIM turut menyampaikan sumbangan kepada Daie Komuniti, Daie Orang Asli, Sukarelawan YADIM serta kepada Surau An Najah sendiri dan pihak Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia untuk mereka melaksanakan program di bulan puasa kali ini.

Turut diadakan ialah pelancaran Buku 100 Persoalan Puasa hasil nukilan Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM,  Ustaz Azhar Yahya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *