Home » Langit Terbuka » 11 juta dihantar pulang segera

11 juta dihantar pulang segera

Tiada pendatang bakal terlepas kecuali kanak-kanak

PARIS 22 Feb. – Pentadbiran Presiden AS mengeluarkan arahan baharu imigresen yang akan menyaksi lebih 11 juta pendatang tanpa izin di negara ini dihantar pulang dengan segera.

Tanpa mengubah undang-undang imigresen sedia ada negara ini, arahan itu memberi kuasa kepada anggota peronda sempadan dan pegawai imigresen untuk menghantar pulang pendatang yang ditahan secepat mungkin, dengan hanya memberikan pengecualian kepada kanak-kanak.

Pendatang tanpa dokumen sah ditahan kerana ke­salahan trafik atau mencuri juga akan dihantau pulang seperti mana mereka yang disabitkan dengan jenayah lebih serius.

Malah, mereka yang didakwa atau berpotensi berdepan tuduhan jenayah akan dihalau keluar dari negara ini.

“Dengan pengecualian yang terhad, Jabatan Ke­selamatan Dalam Ne­geri menguatkuasakan arahan terhadap pendatang asing menerusi penguatkuasaan tanpa mengira kelas atau kategori mereka.

“Semua mereka yang melanggar undang-undang imigresen mungkin tertakluk kepada prosiding penguatkuasaan, termasuk dikeluarkan dari AS,” kata Jabatan.

Selain tindakan drastik itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, John Kelly turut mengarahkan tindakan segera bagi memulakan perancangan pembinaan tembok di sepanjang sempadan antara AS dengan Mexico selain pengambilan 15,000 pegawai dalam agensi imigresen dan kastam.

Dalam perkembangan lain, Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International menyelar ucapan ‘retorik beracun’ yang buat oleh Donald Trump dalam kepimpinannya sehingga menyebabkan perpecahan dan menjadikan dunia semakin tidak selamat.

Dalam laporan tahunan meliputi 159 buah negara, pertubuhan tersebut menegaskan, prinsip kemanusiaan dan kesaksamaan telah diserang oleh ahli-ahli politik yang terlalu ghairah ingin mendapatkan sokongan, mengarahkan kenyataan itu kepada Trump yang mengambil alih jawatan pada 20 Januari lalu.

Badan tersebut turut mengecam dasar luar pemmpin itu yang dilihat mampu menjejaskan kerjasama pelbagai pihak selain menyebabkan ketidakstabilan yang lebih ketara.

“Kempen retorik beracun Trump telah mencipta satu trend global ke arah politik kebencian dan perpecahan.

“Dunia telah menjadi gelap dan semakin tidak stabil dengan peningkatan kenyataan berunsur kebencian yang menyasarkan golongan pelarian di seluruh Eropah dan AS,” tegas Amnesty dalam kenyataan yang dikeluarkan di Paris. – REUTERS

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *