Home » Citra Yadim » Memperluaskan sudut pandang pelajar sekolah agama

Memperluaskan sudut pandang pelajar sekolah agama

KOTA KINABALU 22 Februari – Pelajar sekolah agama tidak seharusnya terikat dengan kerjaya berkaitan agama sahaja tetapi mereka seharusnya memperluaskan sudut pandang dengan turut melibatkan diri dalam bidang-bidang lain.

Demikian menurut Mufti Kerajaan Sabah, SS Datuk Bungsu @ Aziz Haji Jaafar dalam program Santai Ilmu Bersama Mufti yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah, Pejabat Mufti Sabah dan Sekolah Menengah Agama Negeri Toh Puan Hajjah Rahmah, Kinarut pada 14 Februari lalu.

Beliau berkata, lulusan sekolah agama perlu memperluaskan sudut pandang mereka kerana mereka juga mempunyai kemampuan untuk menceburi bidang-bidang lain selain mempunyai asas agama yang lebih baik berbanding pelajar lain.

“Sebenarnya, pelajar sekolah agama tidak terbatas untuk menceburkan diri dalam bidang pengajian Islam sahaja akan tetapi merekajuga  layak menceburi bidang lain seperti perubatan dan kejuruteraan sesuai dengan kemampuan masing-masing,’’ katanya.

Beliau berkata, pelajar bidang agama tidak perlu terlekat kepada stigma belajar agama semata-mata dan menjadi ustaz semata-mata akan tetapi mereka perlu dan boleh keluar dari zon kebiasaan dalam rangka muncul sebagai individu dengan pakej serba lengkap.

Sementara itu, Pengarah YADIM Zon Sabah, Samin Ongki berkata, matlamat utama program ini diadakan adalah memberi peluang kepada pelajar sekolah berinteraksi secara langsung dengan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, iaitu suatu pendekatan baharu mendekati golongan remaja sekolah menengah khususnya remaja sekolah menengah agama.

Program tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMAN, Toh Puan Hajjah Rahmah Al-Fadhilah Ustazah Aishah Haji Kassan dan disusuli ucapan oleh Pengarah YADIM Zon Sabah selaku penganjur utama program ilmiah tersebut.

Program kemudiannya diteruskan dengan agenda utama iaitu pengisian ilmu di samping perkongsian pengalaman oleh Mufti sepanjang sebulan beliau berkursus di London akhir tahun 2016 kepada pelajar-pelajar tingkatan empat, lima dan enam.

Mereka adalah pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan seperti Sijil Menengah Agama, sijil empat Thanawi), Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *