Home » Langit Terbuka » Pemimpin Hamas gesa wujudkan konfrontasi komprehensif

Pemimpin Hamas gesa wujudkan konfrontasi komprehensif

Ismail Haniyeh GETTY IMAGES

GAZA 4 Jan. – Ketua Pergerakan Islam Hamas, Ismail Haneya pada Selasa menggesa pihak-pihak yang berkaitan mewujudkan satu “strategi konfrontasi komprehensif” bagi menggagalkan beberapa langkah Amerika Syarikat (AS) dan Israel di Baitulmaqdis baru-baru ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Berdasarkan Intifada Palestin terhadap Israel yang sedang berlangsung, strategi itu perlu menyediakan satu program Palestin, Arab dan Islam bersama untuk berdepan dengan keputusan berhubung isu Baitulmaqdis, kata Haneya dalam satu kenyataan yang die-mel kepada media.

Beliau turut menggesa negara lain yang menyokong Palestin dan menentang polisi AS di rantau ini agar turut serta dalam strategi bersama itu.

“Strategi ini memerlukan kita untuk bergerak di dua landasan. Pertama, untuk mengisytiharkan kematian proses damai dan kedua, bagi menghentikan sebarang jenis normalisasi dengan pihak musuh iaitu Zionis,” kata pemimpin Hamas itu.

Beliau berkata, Presiden AS Donald Trump dan Parti Likud yang memerintah Israel tidak akan “berjaya menukar identiti atau ciri-ciri Baitulmaqdis, yang senantiasa menjadi wajah serta identiti Palestin, Arab dan Islam.”

Dalam satu undian pada Isnin dan Selasa, Parlimen Israel meluluskan satu pindaan yang bakal menyukarkan lagi kerajaan rejim itu untuk menyerahkan Baitulmaqdis dalam mana-mana perjanjian damai pada masa depan dengan rakyat Palestin.

Perundangan baharu itu mungkin meningkatkan ketegangan yang dicetuskan susulan pengisytiharan Trump bahawa Baitulmaqdis adalah ibu kota Israel pada 6 Disember.

Kenyataan Trump itu telah mencetuskan protes besar-besaran di  kawasanTebing Barat dan Semenanjung Gaza yang diduduki rejim itu.

Sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin terbunuh semasa bertempur dengan pasukan keselamatan Israel, menurut media Palestin. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *