Home » Langit Terbuka » 250 jemaah Malaysia akan dibawa keluar Arab Saudi segera

250 jemaah Malaysia akan dibawa keluar Arab Saudi segera

Jemaah Malaysia yang berada di Makkah dijangka pulang melalui Jeddah, manakala yang berada di Madinah akan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdulaziz, Madinah. - Foto Hiasan Pengalaman Umrah 2017

KUALA LUMPUR – Pihak pengendali ibadat umrah atau muassasah di Arab Saudi dan ejen umrah sedang berusaha untuk membawa keluar secepat mungkin kira-kira 250 jemaah Malaysia yang kebanyakannya masih berada di Makkah.

BH difahamkan, jemaah diminta oleh ejen umrah masing-masing untuk bersedia pulang semula ke tanah air mengikut jadual penerbangan yang dijadualkan, termasuk bagi pemegang visa pelancong.

Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi, Alauddin Mohd Nor, berkata berdasarkan komunikasi pihak konsulat dengan muassasah dan ejen umrah bagi jemaah Malaysia di Arab Saudi, baki jemaah ini dijadualkan pulang di antara 9 hingga 15 Mac ini.

“Muassasah sudah meminta ejen umrah untuk bersedia membawa pulang jemaah mengikut tarikh
penerbangan yang dijadualkan.

“Ini disebabkan ada di antara mereka ini menggunakan visa pelancong, bermaksud jemaah ini yang datang secara individu, tanpa menggunakan ejen boleh pulang lewat sedikit kerana tamat tempohnya lebih panjang iaitu tiga bulan.

“Bagaimanapun, setakat ini difahamkan 250 jemaah Malaysia ini ada ejen masing-masing dan dijangka pulang selewat-lewatnya 15 Mac,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Alauddin berkata, setakat ini pihak konsulat dimaklumkan terdapat satu keluarga jemaah Malaysia yang menggunakan visa pelancong kini berada di Madinah.

“Keluarga ini sudah menyelesaikan ibadat umrah dan kini berada di Madinah.

“Dijadualkan mereka akan pulang ke Malaysia melalui penerbangan Saudi Airlines pada 17 Mac ini,” katanya.

Beliau turut mengesahkan, jemaah Malaysia yang berada di Makkah dijangka pulang melalui Jeddah, manakala yang berada di Madinah akan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdulaziz, Madinah.

Alauddin ketika diminta mengulas mengenai pekeliling dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengenai arahan meninggalkan Arab Saudi pada Khamis lalu sehingga hari ini berkata, ia adalah komunikasi dalaman yang tidak diumumkan secara rasmi.

“Pekeliling itu adalah arahan dalaman di antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dengan pihak muassasah (ejen umrah di Arab Saudi).

“Setakat ini pihak muassasah memaklumkan tiada tekanan yang dibuat oleh pihak kementerian dalam memastikan arahan tiga hari itu dipenuhi serta merta.

“Ia mungkin disebabkan mereka menyedari jadual penerbangan setiap kumpulan jemaah adalah pada hari yang berbeza dan ia dibuat sebelum arahan berkenaan dikeluarkan,” katanya.

Khamis lalu, BH melaporkan satu pekeliling bernombor 14410709 dan diletakkan dengan notis ‘top urgent’ dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Terdahulu, pada Rabu lalu kerajaan Arab Saudi mengeluarkan arahan larangan mengerjakan umrah termasuk bagi rakyatnya, selain menyekat ziarah ke Masjid Nabawi. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *