Home » Citra Yadim » 27 FMD terima sijil graduasi

27 FMD terima sijil graduasi

PUTRAJAYA 9 Mei – Seramai 27 Felo Muda Dakwah (FMD) yang tamat latihan dan 30 FMD yang memulakan latihan menerima sijil graduasi dan watikah pelantikan masing-masing dalam satu majlis yang diadakan pada 4 Mei lalu di Masjid Putra, di sini.

Sijil-sijil dan watikah telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid, manakala yang turut hadir adalah Yang Dipertua YADIM, Dr. Yusri Mohamad.

Kumpulan yang menerima sijil graduasi itu adalah FMD 6 Siri II 2016 yang telah menamatkan latihan pada 31 Disember 2016.

Kumpulan ini terdiri daripada 27 orang iaitu 14 lelaki dan 13 perempuan dengan sebelas daripada mereka adalah lulusan universiti luar negara, manakala 16 yang lain daripada universiti tempatan.

Manakala kumpulan yang menerima watikah perlantikan adalah seramai 30 peserta yang telah memulakan latihan pada 3 April lepas dan mereka kini sedang giat menjalani latihan di Maktab Penjara Kajang.

Pada majlis itu, empat anugerah khas telah diberikan iaitu Anugerah Keseluruhan Mithali kepada Wan Mohd Taufik Wan Marzuki, Anugerah Kepimpinan Murabbi kepada Rita Nur Suhaila Ridzuan, Anugerah Akademik Muaddib kepada Nor Hidayah Aziz dan Anugerah Penulisan Kreatif kepada Sharifah Fadhilah Syed Mahamad Hadzari.

Kewujudan program FMD adalah bertujuan untuk mendedahkan golongan pendakwah muda yang dapat melaksanakan program dakwah di dalam masyarakat dengan berkesan.

Mereka yang terpilih sebagai FMD diberikan latihan intensif dalam pelbagai aspek kepimpinan, antaranya keilmuan, penulisan dan berhujah secara kritis dan bernas serta berpeluang menghadiri pelbagai program YADIM dan agensi-agensi kerajaan serta bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara.

Sejak diwujudkan pada 2014 sehingga kini,  sebanyak tujuh kumpulan FMD telah dilahirkan dengan seramai 180 FMD yang terdiri daripada 106 lelaki dan 74 perempuan.

Di bawah program FMD, mereka diberi modul latihan yang telah disusun yang mana meliputi tiga aspek utama iaitu sahsiah, kemahiran dan ilmu.

Tempoh latihan yang diberikan adalah selama tiga bulan termasuk latihan intensif dan lapangan dengan terdapat 15 modul latihan yang telah dibentuk secara komprehensif.

Antara modul disediakan termasuk mind setting, perlembagaan dan patriotisme, disiplin, penempatan kampung, penempatan bersama pusat khidmat masyarakat, profesional, kepimpinan dan daie pintar.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *