Home » Citra Yadim » 300 wakil pondok seluruh negara menghadiri UMRAN 2026

300 wakil pondok seluruh negara menghadiri UMRAN 2026

PUTRAJAYA – Hampir 300 wakil daripada 131 institusi pondok seluruh negara menghadiri Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2026 yang berlangsung di Putrajaya bagi membincangkan hala tuju, pembangunan dan kelangsungan institusi pendidikan pondok di Malaysia.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom dalam ucaptamanya berkata, penganjuran kali kedua ini meneruskan lima resolusi yang dirumuskan pada UMRAN 2025, yang menghimpunkan lebih 200 ulama, guru pondok dan cendekiawan Islam daripada 102 institusi pondok.

Beliau turut menyentuh mengenai cabaran pengurusan institusi pondok, kompetensi guru dan tenaga pengajar, mekanisme pengiktirafan pendidikan pondok dan graduan, serta pendokumentasian khazanah turath.

Turut menerima perhatian beliau ialah betapa resolusi UMRAN perlu mempunyai hala tuju dan platform UMRAN ini juga perlu menjadi satu pentas untuk membantu pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia merangka Dasar Pondok Negara.

UMRAN 2026 bertemakan “Membangun Adab, Membina Negara: Memperkasa Khazanah Turath” berlangsung selama tiga hari hari bermula 23 November, sebaik selesai Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ At-Tirmidhi dan Al-Syama’il Al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra, Putrajaya.

Sementara itu, pengisian hari kedua selepas ucaptama Yang Dipertua YADIM diteruskan dengan sesi Penerangan Khas “Perlaksanaan Pembangunan Dan Kemajuan Pondok MADANI” oleh Urus Setia Pelaksana, Sekretariat Pondok MADANI, Ustaz Mohd Khairrul Fuad Samsudin serta beberapa siri muzakarah dan perbahasan serta.

Sesi perbahasan menerima sambutan sangat baik para peserta apabila ramai yang terlibat dengan sesi soal jawab dan sumbang saran.

Pada sebelah malam pula diadakan Tausiyah Muallim oleh Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia Sheikh Dr Ali Al-Qaradaghi.

Hadir sama ke majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Haji Zamri Zainal Abidin, Profesor Adjung (Industri) di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tuan Guru Sheikh Wazir Che Awang Al-Makki.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *