Home » Persuasif » 5 sebab pentingnya berjemaah

5 sebab pentingnya berjemaah

Mengerjakan solat fardu lima kali sehari semalam merupakan salah satu rukun Islam dan diumpamakan
sebagai tiang agama. Jika roboh tiang itu, maka rosaklah agamanya. Solat boleh dilaksanakan secara bersendirian namun amat digalakkan untuk dilakukan secara berjemaah kerana solat berjemaah memberikan banyak kelebihan kepada seluruh umat Islam.

1. Menurut perintah Allah
Allah SWT telah memerintahkan Rasulullah SAW untuk solat berjemaah semasa dalam medan perang sebagaimana dalam Surah al-Nisa ayat 102. Ini menunjukkan adanya keutamaan untuk melaksanakan solat semasa atau tidak berada dalam medan perang.

2. Mendapat pahala berganda
Mereka yang bersolat secara berjemaah dijanjikan pahala berlipat kali ganda. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Demikian itu, kerana mereka berwuduk dan menyempurnakan wuduknya dengan betul. Kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosanya. Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya malaikat): ‘Ya Allah, kasihanilah ia.” Dan (para malaikat sentiasa mendoakan) selama ia menanti solat.” (HR Muslim)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya solat berjemaah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian.” (HR Muslim)

3. Mencontohi Rasulullah SAW
Semasa Baginda tinggal di Mekah selama 13 tahun, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan kerana pada masa itu umat Islam diancam oleh pihak kafir Quraisy. Ini menyebabkan solat hanya dapat dilaksanakan secara bersembunyi atau bersendirian. Oleh itu, selepas berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW mula mendirikan solat berjemaah dan secara terang-terangan.

4. Digeruni Syaitan
Syaitan tidak suka umat Islam solat berjemaah kerana dalam solat secara berjemaah itu adanya kesatuan dan persaudaraan selain pahala yang dijanjikan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, sama ada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).” (HR Abu Daud (547). Syeikh Syu’aib al-Arna’ outh menilai sanad hadis ini adalah hasan) Jika tidak kerana hebatnya solat berjemaah, pasti syaitan tidak berusaha untuk menghalang umat Islam daripada melakukannya.

5. Mengeratkan Kasih Sayang dan Persaudaraan
Solat yang dilakukan secara beramai-ramai dalam satu saf yang saling rapat antara satu sama lain dapat mengeratkan persaudaraan melalui persahabatan. Pertemuan yang menerbitkan kesatuan ummah dan kasih sayang. Di dalamnya ada rasa hormat kepada ketua iaitu imam dan juga persefahaman antara satu sama lain. Oleh itu, solat berjemaah dapat menampakkan syiar Islam.

– Majalah Dakwah, Isu. 057

Artikel Berkaitan

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

3 Tingkatan Puasa

Imam Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat iaitu: 1. As-Saumul umum – puasa umum. 2. As-Saumul

Ribuan wanita di Malaysia  pencari nafkah

PADA era ekonomi globalisasi kini yang sangat mencabar menjangkaui keupayaan individu melalui Revolusi Perindustrian 4.0 telah menampakkan perubahan yang ketara dari segi

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *