Home » Muamalah » Ribuan wanita di Malaysia pencari nafkah

Ribuan wanita di Malaysia  pencari nafkah

PADA era ekonomi globalisasi kini yang sangat mencabar menjangkaui keupayaan individu melalui Revolusi Perindustrian 4.0 telah menampakkan perubahan yang ketara dari segi keperluan sumber manusia, bahan mentah dan pengeluaran. Hal ini turut mempengaruhi kitaran hidup manusia dalam mengagih pendapatan dan perbelanjaan.

Ekonomi hari ini menyaksikan peningkatan perbelanjaan isi rumah mahupun individu telah melebihi pendapatan yang mana ia merupakan punca hidup sering dibelenggu dengan rasa tidak cukup. Kehidupan hari ini sangat mendesak sehinggakan setiap orang perlu mencari sumber pendapatan lebih dari satu sumber untuk meneruskan hidup. Ada dalam kalangan individu atau keluarga terpaksa keluar mencari rezeki lebih dari kemampuan yang sedia ada bagi memenuhi keperluan hidup sama ada bagi diri sendiri mahupun untuk keluarga atau tanggungan mereka.

Maka, tidak hairanlah jika pada ketika ini kita melihat, ramai dalam kalangan para wanita yang bergelar isteri, ibu juga ibu tunggal keluar bekerja bagi mendapatkan sumber pendapatan tambahan untuk meneruskan kehidupan harian.

Tuntutan Nafkah

Nafkah diertikan sebagai suatu pemberian daripada seorang suami kepada isteri, juga merupakan pemberian daripada seorang bapa kepada anak-anak yang dituntut di dalam Islam iaitu seperti keperluan asas pakaian, makanan dan tempat tinggal. Nafkah juga merupakan tuntutan belanja kepada keluarga sama ada masih berhubungan atau tidak lagi tinggal bersama. Nafkah ditetapkan mengikut nilai dan kadar tertentu mengikut kemampuan seseorang individu.

Namun hari ini kita dapat saksikan ramai dalam kalangan suami telah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Tanggungiawab ini seolah-olah diambil ringan dan tidak penting bagi mereka. Hal ini menjadi lebih rumit apabila pasangan suami isteri telah berpisah. Perundangan telah menetapkan bahawa tanggungjawab bapa kepada anak-anak perlu dilaksanakan mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Menurut Islam, “nafkah adalah tanggungjawab seorang suami dan hak utama seorang isteri dengan berlapang dada tanpa ada sedikit pun unsur kikir, merupakan kontribusi utama yang dapat mendatangkan keseimbangan dan keharmonian dalam rumah tangga” (I. Rozali, 2017). Suami juga perlu memberi nafkah dari sumber rezeki yang halal dan tidak sesekali memberi nafkah dari sumber yang haram. Namun jika seorang suami itu bersifat bakhil, maka si isteri berhak menuntut jumlah nafkah tertentu baginya untuk keperluan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Hakim akan menentukan jumlah untuk membayarnya. Jika tuduhan isteri benar, maka si isteri berhak mengambil sebahagian daripada harta suaminya.

Berikutan dari desakan ekonomi, keperluan hidup dan sebagainya, ia telah menyebabkan para wanita di Malaysia bertindak untuk keluar dari belenggu ketidakcukupan dalam perbelanjaan. Wanita hari ini telah bangkit melangkah ke hadapan dalam melakukan pelbagai kerja dan menceburi bidang perniagaan.

Bagi mereka yang bergelar suri rumah sepenuh masa turut tidak ketinggalan melangkah setapak ke hadapan dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan secara dalam talian. Mereka terdorong menjalankan perniagaan “online” seperti menjual barangan atau mendaftar sebagai ejen dalam aktiviti jual beli di media sosial. Seterusnya melalui platform media sosial inilah, mereka mampu meraih keuntungan yang lumayan dari aktiviti jual beli barangan dan sekaligus dapat membantu meringankan bebanan dan desakan ekonomi dalam hidup.

Tidak lupa juga kemahiran air tangan seorang wanita yang pandai memasak dan berniaga di restoran atau warung. Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai pelajaran tinggi dalam bidang keusahawanan mampu membuka vendor, butik atau kedai makan.

Jangan pandang sebelah mata akan kemampuan para wanita yang sedaya upaya berusaha mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan dan turut memainkan peranan dalam meringankan beban yang perlu ditanggung oleh suami. Peranan mencari rezeki telah disepakati bersama-sama oleh sang suami dan isteri dan inilah dianggap satu ibadah dalam tuntutan mencari rezeki agar keperluan hidup keluarga dapat dipenuhi dan dapat keluar dari krisis kemiskinan.

Jika diperhatikan, ketika ini kita turut mempunyai ramai dalam kalangan pemimpin juga terdiri daripada golongan wanita sama ada dari peringkat bawahan hinggalah ke peringkat atasan. Mereka terdiri daripada wanita yang mempunyai gelaran dan menjawat jawatan yang tinggi di dalam sesebuah organisasi.

Mereka juga telah bergiat aktif dalam kegiatan ekonomi, melakukan kerja sosial dan ada juga cenderung terlibat dalam kancah politik. Hal ini telah menjadi contoh dan membuka mata para wanita untuk bergerak seiring lelaki yang digelar pencari rezeki utama. Tidak kurang juga Malaysia turut memberi pengiktirafan kepada para wanita yang menjadi inspirasi ramai antaranya menganugerahkan Ikon Wanita Malaysia kepada Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid yang berjaya di dalam bidang pernigaannya sehingga menjadi idola para wanita di Malaysia ini.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak boleh dipandang enteng oleh seorang lelaki dengan mengabaikan tanggungjawab mereka dalam memberi kewajipan nafkah. Bagi keluarga yang mana suami dan isteri bekerja, peranan seorang suami adalah tetap perlu menjalankan tanggungjawab dalam memberi nafkah kepada keluarganya. Dari segi hukum dalam Islam ia tetap tanggungjawab bagi seorang suami. Barulah keharmonian di dalam keluarga boleh dicapai seterusnya membawa kebahagiaan di dunia juga akhirat kelak.

Jika kita pergi ke negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu, rata-rata peniaga adalah dalam kalangan wanita. Mereka menyatakan bahawa kami juga perlu mencari “pitih” iaitu duit, suami pergi melakukan kerja-kerja lain di kampung ataupun di bandar. Era globalisasi kini, terdapat ramai wanita bekerjaya dalam sesebuah organisasi. Pilihan kerjaya juga telah dibuka kepada golongan wanita yang berkelayakan dan berpendidikan.

Wanita telah bergerak seiring lelaki. Tidak hairanlah jika kita lihat wanita juga mampu mengendalikan kenderaan muatan berat dalam melakukan kerja mereka. Ada yang bekerja sebagai pemandu bas, lori dan membaiki kereta. Mereka ibarat wanita besi kerana mampu melakukan kerja-kerja berat. Mereka juga berkeluarga dan perlu memohon izin dari suami untuk keluar bekerja dan terpaksa meninggalkan sebentar tanggungjawab mereka terhadap keluarga.

Kesimpulannya, tanggungjawab seorang isteri dan ibu kepada anak-anak tidak boleh diabaikan jika wanita memilih untuk membantu mencari rezeki bagi meringankan beban suami. Tanggungjawab dan kerjaya perlu seimbang agar rezeki yang diperoleh beroleh keberkatan.

 

-Oleh Sa’adiatul Mahfuzah, Majalah Dakwah Isu. 061

Artikel Berkaitan

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

3 Tingkatan Puasa

Imam Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat iaitu: 1. As-Saumul umum – puasa umum. 2. As-Saumul

5 sebab pentingnya berjemaah

Mengerjakan solat fardu lima kali sehari semalam merupakan salah satu rukun Islam dan diumpamakan sebagai tiang agama. Jika roboh tiang itu, maka

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *