Home » Langit Terbuka » 5 warga Nigeria ditahan edar buku keagamaan

5 warga Nigeria ditahan edar buku keagamaan

Ketua Polis Daerah Timur Laut berkata, mereka yang berumur 25 hingga 30 tahun itu ditahan ketika sedang mengedar buku bertajuk “Rhapsody Of Realities” di kawasan berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang - FreeMalaysiaToday

GEORGE TOWN – Tiga wanita dan 2 lelaki Nigeria ditahan kerana cuba mengedar buku keagamaan di tepi jalan Lebuh Carnavon, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata mereka yang berumur 25 hingga 30 tahun itu ditahan ketika sedang mengedar buku bertajuk “Rhapsody Of Realities” di kawasan berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang.

“Kami menerima maklumat berhubung sekumpulan warga asing mengedarkan risalah dan majalah yang dipercayai cuba menyebarkan fahaman agama Kristian di beberapa lokasi di sekitar George Town dan Lebuh Carnavon.

“Sebelum ini, kami turut menerima satu laporan di Balai Polis Central berhubung kegiatan yang sama dan siasatan awal mendapati 5 individu itu turut terlibat. Polis juga merampas buku keagamaan yang diedar mereka,” katanya hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, mereka bersama 7 lagi individu datang ke Pulau Pinang pada Selasa dengan menaiki kenderaan sendiri dan polis sedang mengesan rakan-rakan mereka bagi membantu siasatan.

Che Zaimani berkata 5 individu warga Nigeria itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung pengedaran buku keagamaan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata pihaknya menerima 3 laporan polis berhubung aktiviti pengedaran kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam seperti yang tular di laman sosial.

Beliau berkata laporan itu diterima daripada bapa seorang pelajar sekolah berkenaan dan 2 wakil pertubuhan kerajaan yang bimbang dengan kegiatan yang dirasakan tidak sepatutnya berlaku itu.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian itu berlaku pada 2 Nov lepas antara pukul 12.10 tengah hari hingga 12.30 tengah hari… 2 lelaki mengedarkan buku kecil (kitab Bible) di bahagian pintu hadapan manakala seorang lagi mengedarkannya di pintu belakang sekolah berkenaan.

“Dikatakan sejumlah lebih kurang 200 Kitab New Testament (Psalms Proverbs) diedar kepada hampir lebih kurang 200 pelajar Melayu, Cina dan India sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata polis akan mengadakan lawatan ke sekolah itu hari ini bagi mengesan saksi dan pelajar yang menerima kitab berkenaan bagi membantu siasatan kes. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *