Home » Langit Terbuka » Pusat Hemodialisis HTF, ikon wakaf kesihatan terbesar di Malaysia

Pusat Hemodialisis HTF, ikon wakaf kesihatan terbesar di Malaysia

Pengurus Besar yang juga Ketua Pegawai Syariah Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad berkata, pusat itu yang bakal beroperasi bermula tahun depan, menelan kos pembinaan keseluruhan sebanyak RM6 juta

KANGAR – Pusat Perkhidmatan Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, yang sedang dalam pembinaan, bakal menjadi ikon wakaf kesihatan iaitu bagaimana sumbangan oleh sesebuah masyarakat Islam itu, mampu memajukan sosio ekonomi ummah di negara ini.

Pengurus Besar yang juga Ketua Pegawai Syariah Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Mohd. Nazri Chik berkata, pusat itu yang bakal beroperasi bermula tahun depan, menelan kos pembinaan keseluruhan sebanyak RM6 juta.

Katanya lagi, apabila beroperasi kelak, pusat berkenaan yang berkapasiti 60 buah katil, turut bakal direkodkan sebagai sebuah wakaf kesihatan terbesar di negara ini.

“Kita hendak meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap konsep wakaf kerana sudah sampai masanya, umat Islam di negara ini keluar daripada amalan tradisi iaitu sekadar menyumbang tanah untuk kubur dan masjid semata-mata.

“Sebaliknya, wakaf memainkan peranan yang besar kepada masyarakat, malah dianggap sebagai ‘gergasi yang sedang tidur’ (potensi ekonomi yang senyap),” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Seminar Kesedaran Zakat, Wakaf dan Muamalah Islam di Dewan Warisan di sini, hari ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai Pusat Perkhidmatan Hemodialisis HTF itu, Mohd. Nazri berkata, orang ramai termasuk bukan Islam boleh mendapatkan perkhidmatan di situ dengan kadar bayaran minimum.

“Berbanding pusat operasi sama oleh pihak swasta, Pusat Perkhidmatan Hemodialisis HTF bukanlah berkonsepkan keuntungan. Kita berharap pembinaannya akan menjadi sebuah ‘cerita kejayaan’ untuk mewujudkan lebih banyak aset wakaf di negara ini,” ujarnya.

Menurut Mohd. Nazri, sebanyak sembilan buah negeri menerusi majlis agama negeri masing-masing yang menjadi pemegang amanah tunggal, telah bekerjasama dengan enam buah bank Islam di negara ini, untuk membangunkan potensi ekonomi ummah.

Katanya, bank-bank terlibat adalah BIMB; Affin Islamic Bank Berhad; Bank Muamalat Malaysia Berhad; Bank Rakyat; Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad.

“Bank-bank ini bersedia menyediakan saluran untuk orang ramai menyumbangkan wang untuk wakaf. Di Perak, kita memperkasakan ekonomi penduduk menerusi wakaf bot manakalan di Selangor pula pendidikan.

“Secara keseluruhan sumbangan wakaf yang berjaya dikumpul di sembilan negeri ini berjumlah lebih RM10 juta,” katanya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *