Home » Analitis » WFH…Berkat Ke?

WFH…Berkat Ke?

IMPAK pandemik Covid-19 bukan sesuatu yang ‘biasa-biasa’. Meskipun ia tidak mampu dilihat dengan mata kasar, namun kehadirannya bukan sahaja menjejaskan ekonomi Malaysia tetapi sebaliknya telah ‘menghuru-harakan’ seluruh dunia.

Hebatnya kuasa Allah, kerdilnya manusia. Bagi Malaysia, setiap sektor terjejas, ramai kehilangan punca pendapatan, ramai juga seakan-akan seperti sudah putus harapan.

Pelbagai norma baharu diperkenalkan termasuk bekerja dari rumah (WFH).

Bagaimanapun, Pakar Motivasi, Prof Dato’ Dr Muhaya Mohamad mempunyai perspektif menarik tentang Covid-19 dan WFH iaitu jangan sesekali salahkan situasi tetapi sebaliknya amat perlu bermuhasabah, seterusnya lakukan ‘reset’ minda bagi mencari punca sebenarnya untuk diatasi kekurangannya.

“Umat Islam perlu yakin bahawa rezeki bukannya datang dari pekerjaan, kerja hanya amalan soleh. Rezeki yang diperoleh selama ini datangnya dari rahmat Allah. Jika kita anggap kerana Covid kita susah nak makan, kurang rezeki kerana kerja terjejas, ia amat salah. Hati-hati tanggapan ini boleh menjejaskan pegangan akidah.

“Rezeki adalah dari rahmat Allah. Rezeki setiap hamba-Nya telah ditetapkan, cuma apa yang berlaku sekarang wujudnya perisai atau penghalang rezeki iaitu kerana dosa-dosa kita,” katanya semasa menjadi tetamu dalam program Live Streaming Mutiara Minda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bertajuk ‘Bekerja Dari Rumah…Berkat Ke?’ yang dikendalikan oleh Selebriti Dakwah, Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud.

Menjelaskan lebih lanjut, Muhaya berkata, sedari atau tidak, limpahan rezeki diperoleh apabila kita memulia dan membahagiakan orang lain terutama ibu bapa, suami isteri dan anak-anak dan ia amat berkait rapat dengan konsep; secret life – private life – public life.

Secret life, hubungan rahsia kita dengan Allah iaitu berseorangan dengan Allah pada waktu tengah malam (tahajjud). Ada masalah mengadu terus kepada-Nya secara eksklusif. Mengakulah kekurangan diri, “Ya Allah aku yakin semua rezeki adalah daripada-Mu namun selama ini aku terlalu banyak fokus kepada benda lain hingga abaikan tanggungjawab seorang hamba kepada Mu”.

“Benda ni ramai yang terlupa, jika tersedar tengah malam buatlah solat, dua rakaat pun ok. Jika solat fardhu, muazzin yang panggil tapi tahajjud Allah yang ‘gerakkan!’. Bila hubungan dengan Allah baik, Insya-Allah hubungan dengan keluarga akan jadi baik (private life). Siapa baik dengan secret, private dan public pun akan turut terjaga sama.”

Jelas Muhaya, hidup memerlukan ‘password’ khusus untuk kekal tenang dan dimurahkan rezeki serta sentiasa dirahmati Allah.

* Mulakan sesuatu dengan Bismillah – Jika sebelum ni tak buat, amalkan sekarang,

pastikan agar sentiasa bersama dengan Allah.

* Ucap Alhamdulillah – Bersyukur agar Allah tambahkan nikmat, jangan sesekali kufur nikmat.

* Selalu ucap Hasbunallah – Dalam apa-apa keadaan selalulah berserah kepada Allah, kita sebagai hamba langsung tidak berkuasa apa-apa

* Amalkan selawat

* Banyakkan beristighfar (bertaubat)

Dalam pada itu, menjawab soalan Hariri bahawa terdapat pendapat mengatakan WFH tiada keberkatan kerana pekerja itu terdedah kepada penipuan kononnya tidak amanah dalam melakukan rutin kerja dan bagaimana cara untuk mendisiplinkan diri?

Jelas Muhaya: Di sini amat pentingnya fungsi ‘reset minda’.

1. Dalam apa sahaja situasi, ia bergantung kepada orang bukannya tempat kerja atau suasana. Kena ingat manusia hidup dengan keputusan diri sendiri termasuk iman, mata hati dan nafsu. Apabila Allah anugerahkannya keberkatan, iaitu sentiasa fikirkan kepentingan ummah, ingati Allah di mana sahaja dia bekerja, nescaya dia akan ada sifat jujur dan amanah.

2. Jika manusia itu tidak menjaga akhlak dan ketaqwaanya, bila dia WFH dan tiada ihsan (merasakan Allah tidak melihatnya) maka dia akan menjadi pekerja tidak jujur dan amanah. Dia main-main kerana majikannya berada jauh padahal majikan hakiki, Allah sentiasa memerhatikannya.

Lebih tepat, kerja yang dilaksanakan tidak setimpal dengan gaji diperoleh. Jika kualiti kerja lebih rendah dari apa yang dibayar – tidak berkat. Kualiti lebih tinggi dari apa yang dibayar – berkat.

3. Bagaimana untuk disiplinkan diri? Betulkan niat bekerja kerana Allah, secara rohani bakal memberikan kekuatan, semangat dan istiqamah. Untuk perancangan fizikal, kena ada work diary, pasang timer atau alarm, juga kena sediakan masa khusus untuk kerja (block of time). Apa yang penting, atur masa berdasarkan kepada kekuatan diri – urus diri, bukannya urus masa.

4. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebenarnya telah membuka topeng diri, iaitu semasa berseorangan atau WFH apa yang kita buat sebenarnya. Macam mana anda buat sesuatu, begitulah apa yang anda buat segala-galanya!.

5. Kualiti seseorang itu mampu dilihat melalui pukul berapa dia bangun pagi. Siapa bangun sebelum subuh, tunaikan beberapa rakaat solat sunat dan bersedia untuk bersolat Subuh, dia adalah manusia terbaik. Siapa kuasai pagi, maka dia akan kuasai harinya, juga mulia di sisi Allah.

6. Untuk bangun awal, semestinya akan tidur awal, sekali gus membuktikannya kekal fokus dan tidak buat benda-benda remeh. Dia hargai masa seperti nyawa, iaitu tidak rela nyawanya diragut oleh sesuatu yang tidak berfaedah. Jika cabaran bantal pun tak mampu lawan, macam mana nak lawan cabaran hidup – pillow battle!.

“Jika cintakan Allah, mesti dia tak sabar nak tidur awal selepas Isyak sebab nak suruh Allah ‘kejutkan’ untuk tahajjud, nak bersunyi-sunyi dengan Allah, bila tengah malam lebuh raya 5G kita dengan Allah amat kuat dan laju.”

7. Pekerja juga kena semak kualiti diri semasa PKPB, adakah anak, isteri selesa dengan kita, jika berlaku sebaliknya pasti ada yang tidak kena. Kena atasi lompong-lompong itu, perbaikilah diri. Manusia terbaik bukan sahaja berjaya dalam karier tetapi dengan keluarga pun sama.

Hariri: Bagaimana untuk cari keberkatan dalam rezeki?
Muhaya: Saya pernah mendengar kuliah Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz kira-kira 29 tahun lalu (1991) bahawa terdapat tiga elemen penting tentang budaya kerja dalam Islam, iaitu:

* Ubudiah – nilai ibadah di sisi Allah dan pasang niat bekerja kerana Allah. Jika tidak semuanya akan jadi sia-sia kerana ia tidak membantu memberatkan timbangan amalan baik di Padang Mahsyar kelak.

* Masuliyyat – tanggungjawab sebagai hamba iaitu jalankan amanah sebaik mungkin sebagai khalifah Allah atas dunia.

* Itqon/Kaizen – buatlah kerja sebaik mungkin.

1. Kita buat ibadah khusus seperti solat, kadang-kadang masa maksimum kira-kira 50 minit sehari, amat sekejap sebenarnya jika dibandingkan 24 jam yang diberikan Allah kepada kita. Adakah kita hanya mengharapkan 50 minit sehari itu sahaja untuk masuk syurga Allah yang begitu mahal?

2. Jadi, kita kena jadikan tempat kerja sebagai antara ladang pahala, tempat bercucuk-tanam untuk dapat pahala iaitu matawang akhirat. Sekarang semua orang sibuk cari banyak duit tapi kena ingat matawang akhirat ialah pahala bukannya RM!. Jika kita sedar dan insaf tentang hakikat ini, Insya-Allah kita akan miliki sumber motivasi yang kuat.

3. Terdapat enam tahap niat yang perlu diinsafi.
i. Demi duit – untuk bayar hutang, perbelanjaan rumah dan harian iaitu demi keperluan hidup di dunia semata-mata. Ia akan menjadikan kita penat dan stress – hanya bergantung kepada kekuatan fizikal sahaja, tiada kekuatan rohani.
ii. Demi pangkat, kerjaya – keburukannya kita akan bersaing dan timbul dengki jika gagal peroleh apa yang dikehendaki.
iii. Demi job satisfaction – alangkah ruginya kerana hanya memikirkan keuntungan setakat dunia sahaja.
iv. Demi melengkapkan ketaqwaan dan redha Allah.
v. Untuk memasuki syurga Allah.
vi. Kerja kerana cintakan Allah

4. Manusia tidak akan berjaya jika gagal melawan empat sifat buruk dalam diri iaitu kuat tidur, kuat makan, melengahkan masa dan malas. Bukan setakat merosakkkan diri malah boleh menyusahkan keluarga dan negara.

5. Ambil peluang PKPB, WFH untuk tingkatkan kualiti cara kerja, ibadah, cara tidur dan bangun pagi. Jika betulkan kualiti solat, segala kualiti hidup akan jadi sempurna. WFH juga secara tidak langsung jadikan kita Muslim yang lebih baik, jika dulu wanita dedah aurat semasa pergi kerja dan bergaul bebas antara lelaki dan wanita, kini ia sudah terkawal.

Moga-moga kita semua berubah ke arah lebih baik.

Ahmad Tarmizi Abdul Rahim ialah bekas Pengarang Meja Agama Utusan Malaysia. Berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan penulisan, beliau kini menulis di pelbagai platform

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *