Home » Langit Terbuka » Pengurusan endorsan tanah wakaf lebih sistematik menerusi ‘vesting’

Pengurusan endorsan tanah wakaf lebih sistematik menerusi ‘vesting’

Pengurusan tanah wakaf di Kuala Lumpur bakal menjadi leboh cekap dengan pelaksanaan Perletakhakan Tanah Wakaf atau ‘vesting’ . - Foto Satellite News

KUALA LUMPUR — Pengurusan endorsan tanah wakaf, terutama di bawah kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), bakal menjadi lebih sistematik dengan pelaksanaan Perletakhakan Tanah Wakaf atau ‘vesting’ di bawah Seksyen 416 C Kanun Tanah Negara.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWPKL) Datuk Che Roslan Che Daud berkata kaedah vesting digunakan bagi menangani masalah ketiadaan sebarang endorsan ke atas tanah wakaf yang dibuat melalui sistem e-Tanah yang dikuatkuasakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mulai 19 Jun 2017.

“Melalui pelaksanaan urusan vesting ini, ia akan memaparkan jenis wakaf, maklumat pewakaf dan tujuan wakaf dengan lebih jelas di atas dokumen hak milik, selaras lafaz wakaf yang telah ditandatangani.

“Kaedah ini akan membantu PPTGWPKL serta pihak MAIWP, terutama selaku pemegang amanah tanah wakaf, dalam melaksanakan hasrat pewakaf serta pengurusan rekod tanah wakaf yang lebih baik dan teratur,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Penyampaian Dokumen Hakmilik Tanah Wakaf Pertama di Kuala Lumpur menggunakan kaedah perletakhakan kepada MAIWP di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan rekod MAIWP sehingga 2019, terdapat sejumlah 52 hak milik tanah yang telah diwakafkan di WPKL, yang terdiri daripada 19 lot untuk Wakaf Am dan 33 bagi Wakaf Khas.

“Bagaimanapun, kesemua 52 hak milik tanah itu tidak dicatatkan sebarang endorsan wakaf ke atas setiap dokumen hak miliknya memandangkan kaedah yang diguna pakai sebelum ini di PPTGWPKL adalah melalui urusan Pindahmilik Tanah daripada pewakaf kepada MAIWP.

“Oleh yang demikian, sekiranya tiada sebarang endorsan direkodkan ke atas hak milik-hak milik tersebut, dikhuatiri dalam satu tempoh yang panjang nanti, tanah-tanah wakaf ini tidak lagi dapat dikenal pasti status dan tujuan pewakafannya serta tidak dapat dibezakan dengan tanah-tanah milik MAIWP yang lain di dalam rekod hak milik tanah di PPTGWPKL,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata kerjasama dan pelaksanaan urusan baharu tersebut akan membantu MAIWP, selaku pemegang amanah tanah wakaf, melaksanakan hasrat pewakaf serta pengurusan rekod tanah wakaf yang lebih baik dan teratur.

“Kita harap inisiatif baharu yang dilaksanakan ini akan menjadi faktor pendorong serta galakan kepada pemilik-pemilik tanah yang lain untuk berwakaf memandangkan ia dapat meningkatkan kebajikan serta memajukan ekonomi umat Islam, terutama di Kuala Lumpur,” katanya.

Terdahulu, Che Roslan menyampaikan dokumen hak milik tanah wakaf kepada MAIWP, hak milik pertama yang didaftarkan menggunakan endorsan baharu itu.

Hartanah yang diwakafkan merupakan sebuah unit
rumah teres dua tingkat yang diwakafkan Syed Ahmad Shakirin Syed Ghazali. – Bernama

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *