PUTRAJAYA – Perkembangan Isu semasa dalam industri seni kreatif negara perlu terus diberi perhatian, khususnya dalam memastikan ianya bergerak seiring dengan pembentukan nilai, jati diri dan keharmonian masyarakat.
Atas kesedaran itu, agensi Hal Ehwal Agama telah menganjurkan Sidang Meja Bulat Industri Layar : Antara Kebebasan Berkarya Dengan Nilai Tatasusila pada 14 September di Putrajaya, yang menghimpunkan pelbagai pihak untuk berkongsi pandangan, pengalaman serta cadangan berkaitan hala tuju industri seni kreatif negara.
YADIM turut mengambil peranan sebagai rakan strategik dengan menghimpunkan rakan-rakan selebriti dalam kalangan penggiat seni negara untuk menyertai sidang berkenaan, sekali gus membuka ruang dialog yang lebih dekat antara dunia dakwah dan industri kreatif. Antara yang hadir ialah pelakon terkemuka, Sabri Yunus, penerbit dan pengarah, Bade Haji Azmi serta penulis skrip dan penggiat filem, Haji Zabidi Mohamed.
Selain penglibatan penggiat seni, YADIM turut membawa ejen-ejen dakwahnya menerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Nadwah Ulama dan Ilmuwan YADIM serta Majlis Wanita Islam YADIM untuk bersama menyumbang pandangan dan perspektif dalam perbincangan.
Antara pengisian program yang dikendalikan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan ini ialah sesi perbincangan dan sumbang saran yang mempertemukan penggiat seni dengan wakil agensi kerajaan serta pemegang taruh industri, bagi meneliti isu dan perkembangan semasa industri seni kreatif. Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, berperanan sebagai moderator dalam sesi tersebut. Terlibat sama ialah Pengarah Kanan Sektor Media dan Penerbitan Dakwah, Puan Zalilah Bahari.
Turut diadakan ialah perbincangan secara langsung dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Haji Fauwaz Fadzil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan yang kemudiannya hadir menyertai dan menyempurnakan sidang dalam ucapannya telah menyentuh mengenai garis panduan, penguatkuasaan undang-undang, pendanaan serta peluang dakwah menerusi seni kreatif.
Beliau menegaskan, apabila timbul sesuatu isu, keutamaan agensi hal ehwal agama bukanlah untuk menghukum semata-mata, sebalik pihaknya juga menggunakan pendekatan mendidik dan memberi kefahaman.
Sidang seperti ini akan diadakan lagi selepas ini bukan sahaja sebagai tanda prihatin dan menyantuni, malah sebagai tanda rakan-rakan sentiasa dekat dengan YADIM dan agensi-agensi hal ehwal agama.



KOMEN