HULU PERAK – Seramai 60 orang mualaf di Pengkalan Hulu, Perak menerima perhatian dan sokongan menerusi Program Sinergi Dakwah Mualaf yang berlangsung di Masjid Al Aula, Selarong, pada 17 September.
Bukan sekadar sesi pengisian agama, program hasil kerjasama Masjid Al Aula, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Pengkalan Hulu dan Yayasan Restu itu turut membuka ruang kepada para mualaf untuk mendekati al-Quran melalui perkongsian ilmu yang dikaitkan dengan kehidupan dan perkembangan sains.
Ceramah di Masjid Angkat YADIM ini yang bertajuk ‘Sains Dalam al-Quran’ disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Restu, Encik Anuar Omar, yang mengupas petunjuk berkaitan fenomena sains dalam ayat-ayat al-Quran.
Perkongsian tersebut membawa para peserta melihat al-Quran bukan hanya sebagai bahan bacaan, sebaliknya sebagai sumber ilmu dan panduan yang terus relevan dalam kehidupan.
Lebih bermakna, setiap peserta turut menerima al-Quran terjemahan tajaan Yayasan Restu, bernilai RM190 sebuah, selain beras fidyah tajaan Baitulmal Pengkalan Hulu. YADIM pula menyampaikan Pek Kotak MADANI kepada para mualaf sebagai tanda prihatin dan sokongan.
Majlis dirasmikan oleh Pegawai Baitulmal Pengkalan Hulu, Encik Yazid Kamaruddin.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Masjid Al Aula, Encik Baharim Abdul Karim; wakil Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA, Tuan Ismawie Sabu, serta Penolong Pengarah YADIM Negeri Perak, Ustaz Mohd Afifi Ruslan.



KOMEN