Home » Citra Yadim » Inisiatif Dakwah Komuniti YADIM, Pembelajaran Agama Secara Berterusan

Inisiatif Dakwah Komuniti YADIM, Pembelajaran Agama Secara Berterusan

KUALA LUMPUR – YADIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya terus mempergiat usaha pengimarahan institusi surau menerusi pelaksanaan Program Pengukuhan Ilmu al-Quran dan Asas Fardu Ain yang diadakan secara mingguan di Masjid Al-Ikhlasiah, Pantai Dalam.

Program ini merupakan antara inisiatif dakwah komuniti YADIM bagi menyediakan ruang pembelajaran agama secara berterusan kepada masyarakat setempat, khususnya penduduk yang tinggal berhampiran masjid termasuk komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan berkenaan.

Pengisian program merangkumi Kelas Iqra’ dan pengajian Fardu Ain yang disusun secara berperingkat bagi membantu peserta memperkukuh kemahiran membaca al-Quran serta meningkatkan kefahaman terhadap asas-asas agama dalam kehidupan seharian.

Bagi sesi pada 16 November, peserta mengikuti ulang kaji bacaan terdahulu bagi Iqra’, dan alquran. Sesi pembelajaran dilaksanakan secara bimbingan dan talaqqi bagi membantu peserta memperbaiki bacaan serta meningkatkan penguasaan asas al-Quran.

Program kemudiannya diteruskan dengan pengajian Fardu Ain berpandukan buku Indahnya Hidup Bersyariat, menerusi Bab 3 yang membincangkan tajuk Sifat Mahmudah dan Mazmumah. Pengisian ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji serta menjauhi sifat-sifat tercela dalam membentuk keperibadian Muslim.

Sesi pengajian dikendalikan oleh Daie Komuniti YADIM Wilayah, Ustaz Mohd Fadhlullah Ismail, yang bertindak sebagai panel pembimbing sepanjang pelaksanaan kelas.

Melalui penganjuran secara mingguan ini, YADIM berharap usaha pengimarahan masjid dan surau dapat diperkasakan sebagai pusat pembelajaran, penyebaran ilmu serta pembinaan masyarakat yang memahami dan mengamalkan tuntutan agama.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan YADIM dalam mendekatkan masyarakat dengan pengajian al-Quran dan ilmu fardu ain menerusi pendekatan dakwah komuniti yang inklusif, tersusun dan berterusan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *