Home » Langit Terbuka » UMRAN 2026 angkat enam resolusi termasuk penggubalan Dasar Pondok Negara

UMRAN 2026 angkat enam resolusi termasuk penggubalan Dasar Pondok Negara

PUTRAJAYA, 25 November – Hampir 300 wakil daripada 136 institusi pondok seluruh negara yang menghadiri Muzakarah Umara’ dan Ulama’ Pondok Kebangsaan (UMRAN) 2026 bersetuju mengangkat enam resolusi, antaranya penggubalan Dasar Pondok Negara, peningkatan bantuan kerajaan serta pengiktirafan kelayakan bagi lulusan pondok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, resolusi berkenaan akan dipertimbang untuk pelaksanaan selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memberi perhatian kepada pembangunan syiar Islam, khususnya pemerkasaan institusi pondok dan pengajian turath.

“Alhamdulillah, kita telah mempunyai satu resolusi dan insya-Allah ia akan cuba dipertimbang untuk pelaksanaan. Ini mesej kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Kerajaan MADANI sememangnya memberi perhatian kepada seluruh aspek pembangunan syiar Islam.

“Ia termasuklah pemerkasaan institusi pondok dan turath yang merupakan benteng serta elemen sangat penting yang perlu diberikan perhatian dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup muzakarah berkenaan di sini.

Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli berkata, kerajaan turut memperkukuh usaha pembangunan institusi itu menerusi penubuhan Sekretariat Pondok MADANI yang diurusetiakan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta guru-guru pondok.

“Antara usaha lain yang sedang dilaksanakan termasuk projek rintis pendigitalan sekolah pondok yang dimulakan tahun ini melibatkan enam institusi di enam negeri, selain pengenalan Sijil Turath Malaysia bagi memberi pengiktirafan di peringkat nasional,” katanya.

UMRAN 2026 yang bertemakan “Membangun Adab, Membina Negara: Memperkasa Khazanah Turath” berlangsung selama tiga hari bermula 23 November lalu, sejurus selesai Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ At-Tirmidhi dan Al-Syama’il Al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di sini.- BERITA RTM

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *