JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan bungkusan plastik mengandungi 22 naskhah al-Quran serta pelbagai buku agama di tepi jalan kawasan Ulu Tiram semalam.
Pengarahnya, Datuk Mohd Radzi Mohd Amin, berkata pihaknya turut membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Beliau berkata, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti fakta, punca kejadian serta pihak bertanggungjawab.
“Kesemua bahan berkaitan yang dikenal pasti sudah diambil pihak JAINJ dan ditempatkan di Pusat Pemurnian Al-Quran Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd Radzi, langkah itu diambil bagi memastikan bahan berkenaan berada dalam keadaan terkawal serta diuruskan mengikut kaedah dan tatacara yang ditetapkan.
Mohd Radzi berkata, JAINJ memandang serius isu pembuangan teks al-Quran, bahan bercetak yang mengandungi ayat suci al-Quran serta buku agama yang tidak diuruskan dengan sewajarnya sehingga menimbulkan kebimbangan dan sensitiviti dalam kalangan masyarakat Islam.
Beliau menegaskan, pengurusan dan pelupusan teks al-Quran, bahan mengandungi ayat suci serta bahan keagamaan perlu dilakukan mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada bagi menghormati kesucian serta kedudukan al-Quran.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya terus kepada JAINJ menerusi talian hotline 07-207 6429.
Terdahulu, media melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung penemuan itu selepas menerima laporan orang awam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Victor Genason, berkata siasatan di lokasi kejadian menemukan 22 naskhah al-Quran, tiga naskah terjemahan al-Quran, 18 naskhah surah Yasin dan pelbagai buku agama, buku teks sekolah dan buku tulis.- BERITA HARIAN



KOMEN