Home » Citra Yadim » YADIM Terengganu Jadi Antara Yang Terawal Uji Perkhidmatan Tren ECRL

YADIM Terengganu Jadi Antara Yang Terawal Uji Perkhidmatan Tren ECRL

KOTA BHARU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu menjadi antara kumpulan terawal yang berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) baru-baru ini.

Penyertaan tersebut adalah atas jemputan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) selaku pengurus projek rel berkenaan bagi mendedahkan warga YADIM secara lebih dekat mengenai kemudahan, persekitaran serta keselesaan perjalanan menggunakan pengangkutan awam baharu itu.

Delegasi yang diketuai oleh Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin itu memulakan perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu menerusi penganjuran program Kembara Ilmu YADIM Terengganu – ECRL.

Sepanjang perjalanan, pengisian kerohanian seperti sesi Usrah Nurani turut diadakan dalam kalangan peserta, selain delegasi berpeluang meninjau sendiri kemudahan mesra Muslim seperti ruang solat dan tempat wuduk yang disediakan di dalam gerabak tren.

Inisiatif ini sekali gus membuka ruang kepada YADIM untuk membantu memperkenalkan perkhidmatan ECRL kepada masyarakat umum menerusi pendekatan dakwah, seiring dengan potensi besar pengangkutan rel tersebut sebagai pemangkin mobiliti rakyat di Pantai Timur.

Setibanya di Kota Bharu, delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat YADIM Negeri Kelantan dan disambut mesra oleh Pengarahnya, Puan Yusnita Muhamed Yusoff bersama barisan kakitangan.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai perkembangan infrastruktur negara, malah menjadi platform terbaik untuk meneroka kaedah baharu dalam mendekatkan masyarakat dengan kemudahan awam yang disediakan kerajaan.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *