Home » YADIM MADANI » Konvensyen MADANI RSY 2026 Buka Tirai di Melaka, Himpun Wakil 60 Institusi Pengajian Tinggi

Konvensyen MADANI RSY 2026 Buka Tirai di Melaka, Himpun Wakil 60 Institusi Pengajian Tinggi

MELAKA, 27 November – Konvensyen MADANI Rakan Siswa YADIM (RSY) Peringkat Kebangsaan 2026 membuka tirainya di Bukit Katil, di sini, hari ini, dengan menghimpunkan seramai 250 mahasiswa bagi membincangkan peranan generasi muda dalam mendepani cabaran umat serta pengaruh kuasa besar dunia.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu disertai oleh pemimpin pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan seluruh negara, merangkumi 20 Institut Pendidikan Guru (IPG), 35 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), serta lima politeknik.

Turut turun padang menyantuni para peserta ialah Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan YADIM, Haji Mahadi Awang; Pengarah YADIM Negeri Melaka, Ustaz Abdul Halim Ismail; serta Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM, Ustaz Ab. Razak Aripin.

Tirai hari pertama dimulakan dengan sesi taaruf yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Majlis Pengurusan Tertinggi RSY bagi membina keserasian dan ukhuwah dalam kalangan peserta sebelum mengikuti pengisian utama.

Acara kemuncak hari pertama menampilkan slot “Bicara Tokoh: Mahasiswa dan Hegemoni Dunia” yang disampaikan oleh Pengerusi Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman.

Dalam perkongsiannya, beliau mengupas tiga musuh utama umat menurut tokoh pemikir Islam, Badi’uzzaman Said Nursî, iaitu kejahilan, kemiskinan, dan perpecahan yang perlu ditangani secara tuntas oleh generasi muda.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa bahawa mereka merupakan harapan negara yang memikul tanggungjawab besar dalam mencorakkan masa depan umat, khususnya ketika berdepan tekanan serta percaturan kuasa besar dunia.

“Pengaruh kuasa besar dunia tidak akan berakhir dalam sehari, namun ia juga tidak akan kekal selamanya sekiranya umat Islam bangkit daripada lena.

“Sejarah membuktikan bahawa kuasa-kuasa besar silih berganti, dan perkara ini menjadi peringatan kepada mahasiswa agar mengambil peranan aktif dalam menentukan hala tuju negara serta umat,” tegasnya.

Pengisian hari pertama konvensyen diakhiri dengan sesi penetapan minda (mind setting) dan pembentukan kumpulan sebagai persediaan para peserta bagi menghadapi modul seterusnya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *