KUALA LUMPUR: Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-42 mencipta sejarah selepas Ketua Perlembagaannya, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai graduan ijazah sarjana.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula buat julung kali menyempurnakan penganugerahan ijazah kepada graduan ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana.
Sultan Nazrin ketika menzahirkan titah ucapan menyifatkan keberangkatan Tunku Azizah sebagai graduan Ijazah Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam ialah suatu keistimewaan luar biasa serta teladan terpuji buat seluruh warga universiti.
“Kekanda menzahirkan ucapan tahniah yang istimewa kepada Paduka Adinda Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang membuktikan contoh teladan terpuji.
“Keazaman Tunku Azizah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sambil menyempurnakan tugas-tugas diraja ialah satu contoh komitmen terhadap pembelajaran yang kita raikan pada majlis ini, dan wajar mendapat pengiktirafan universiti,” titah baginda.
Sultan Nazrin pada istiadat sama turut mengalu-alukan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang hadir menyaksikan detik bersejarah itu.
Baginda menyifatkan kehadiran Al-Sultan Abdullah sebagai lambang suami mithali yang sentiasa memberikan dorongan serta kekuatan di sebalik kejayaan seorang isteri.
Sementara itu, dalam ucapan baginda, Sultan Nazrin bertitah mengingatkan ijazah PhD dan sarjana bukanlah destinasi terakhir.
Titah baginda, ia menandakan detik muhasabah sebelum melangkah ke penyelidikan seterusnya, penemuan baharu dan sumbangan kesarjanaan yang berikutnya.
“Pendidikan anda memberikan asas untuk pembelajaran berterusan. Bagi penyelidik, ini mungkin bermaksud kembali merungkai persoalan yang belum terjawab; manakala bagi pengamal pula, mengaplikasi apa yang dipelajari di tempat yang paling memerlukannya.
“Gelaran dan ijazah yang dianugerahkan kepada anda pada hari ini menandakan komitmen terhadap usaha mencari kebijaksanaan sepanjang hayat,” titah baginda.
Titah Sultan Nazrin lagi, mereka kini tergolong dalam komuniti sarjana diharapkan untuk terus mengemuka persoalan, mencabar andaian dan memajukan ilmu demi manfaat orang lain.
Baginda bertitah, tidak semua sumbangan akan mengubah dunia, namun setiap usaha yang bermakna, walau sekecil mana sekalipun, membantu seseorang itu memahami dengan lebih baik.- BERITA HARIAN



KOMEN