Home » Citra Yadim » Tradisi Ilmu Perlu Jadi Asas Pembinaan Negara Seiring Kemajuan Teknologi – Perdana Menteri

Tradisi Ilmu Perlu Jadi Asas Pembinaan Negara Seiring Kemajuan Teknologi – Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 27 November – Tradisi ilmu perlu terus menjadi asas utama dalam membina kekuatan umat dan negara, khususnya dalam mendepani arus perubahan teknologi serta cabaran kehidupan masa kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umat Islam amat perlu mengelakkan ketandusan ilmu, asas pengetahuan yang lemah, serta sikap kurang mencintai ilmu.

Justeru, beliau menekankan bahawa bidang pendidikan dan penguasaan ilmu wajar diberi perhatian berterusan bagi meningkatkan kefahaman sekali gus memartabatkan kedudukan umat.

“Tradisi ilmu bukan sekadar membaca, sebaliknya perlu disertai usaha memahami, menelaah, mengupas, dan membahaskan sesuatu ilmu.

“Pendekatan ini, termasuk dalam pengajian hadis, amat penting bagi memastikan ilmu benar-benar difahami serta dapat diterapkan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ilmu MADANI bersama Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Sheikh Profesor Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi di Kompleks Seri Perdana, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut gagasan Malaysia MADANI, Anwar menegaskan bahawa kemajuan negara mesti bergerak seiring antara penguasaan teknologi baharu—seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan, dan peralihan tenaga—dengan asas akidah, akhlak, serta nilai murni yang menjadi teras kehidupan bernegara.

Pengisian utama majlis berkenaan turut diserikan dengan sesi tausiah yang disampaikan oleh Sheikh Profesor Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr. Hasan Bahrom; serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, Profesor Ts. Dr. Zuriati Ahmad Zukarnain.

Penganjuran Majlis Ilmu MADANI di Seri Perdana ini terus menjadi wadah penting dalam menyuburkan budaya keilmuan serta merapatkan pertemuan antara ulama, pemimpin, dan masyarakat demi membina negara yang berteraskan ilmu pengetahuan.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *