Home » Langit Terbuka » Afghanistan terus bergolak

Afghanistan terus bergolak

Pasukan keselamatan membuat halangan di kalan berhampiran kawasan kejadian. Foto : Reuters

Lima askar maut, 10 cedera dalam serangan nekad Daesh ke atas pos tentera

KABUL – Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang pos kawalan berhampiran salah sebuah akademi tentera utama di Afghanistan semalam, mengakibatkan lima askar terbunuh dan 10 yang lain cedera sebelum penyerang ditewaskan, kata Kementerian Pertahanan.

Kumpulan militan Daesh mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu berhampiran Akademi Tentera Mashal Fahim di barat Kabul.

Keganasan itu berlaku dua hari selepas sebuah ambulans meletup di pusat bandar Kabul dan membunuh lebih 100 orang dan lebih seminggu setelah serangan ke atas Hotel Intercontinental, juga di Kabul, yang meragut lebih 20 nyawa.

Kumpulan militan Taliban mengaku bertanggungjawab ke atas kedua-dua serangan terdahulu itu.

Beberapa pegawai Kementerian Pertahanan berkata, lima militan bersenjatakan pelancar grenad dan raifal automatik menyerang pos tentera itu menjelang waktu subuh.

“Dua penyerang berkenaan meletupkan diri mereka, dua terbunuh dalam pertempuran, manakala seorang lagi telah ditangkap,” kata kementerian tersebut semasa mengumumkan bahawa pertempuran sudah berakhir.

“Lima askar turut maut dan 10 lagi cedera,” tambah kenyataan sama.

Serangan semalam berlaku menjelang lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke ibu kota Afghanistan, Kabul.

Indonesia mempunyai populasi Islam terbesar di dunia dan Joko mengusulkan supaya ulama-ulama Indonesia membantu mempromosikan keamanan di Afghanistan. – Reuters

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *