Home » Citra Yadim » Agenda lahirkan mahasiswa berjiwa dakwah akan diteruskan

Agenda lahirkan mahasiswa berjiwa dakwah akan diteruskan

KUALA SUNGAI BARU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berhasrat untuk lebih aktif melahirkan mahasiswa berjiwa dakwah pada masa akan datang.

Pengurus Besar Operasinya, Yang Berusaha Ustaz Mohd Khairrul Fuad Samsudin berkata, menerusi Bahagian Kepimpinan Mudanya, (KEMUDA) badan dakwah ini mempunyai cita cita untuk melihat lebih ramai golongan pelapis pendakwah melakukan kerja kerja dakwah di negara ini.

“Menerusi program Sahabat YADIM (SY),  kita mempunyai objektif yang cukup jelas untuk lahirkan barisan pelapis ini, justeru, lebih banyak kerjasama dengan universiti-universiti akan di jalinkan,” kata beliau semasa berucap dalam perasmian Konvensyen Kebangsaan Sahabat YADIM di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di sini hari ini (17 November).

Majlis Perasmian disempurnakan oleh  Canselor Kuim, Datuk Dr Hasan bin Bahrom. Hadir sama ialah Naib Canselor KUIM, Datuk Mohd Taib Dora, Pengarah KEMUDA, Ustaz Sabir  Abdul Ghani, pemimpin masyarakat dan wakil wakil pelajar.

Seramai 600 orang SY dari seluruh negara hadir ke majlis berkenaan yang menyaksikan mereka bertukar pandangan, berhujah menentukan hala tuju, kepimpinan serta agenda SY untuk tahun depan.

Sementara itu, Sabir berkata, bagi tahun ini, KEMUDA memfokuskan kepada kadersasi pendakwah muda.

“Menerusi SY ini, kita telah lahirkan beberapa personaliti dalam bidang dakwah negara seperti Pencetus Umah (PU) Amin, PU Raihan, dan Daie Syazwan sebagai contoh. Produk dari YADIM seperti inilah yang kita mahu.

“Malah kita sekarang sudah menjurus juga kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik,mereka yang membantu membuat dasar kerajaan kita ini suburkan dengan fikrah Islamiah,” jelas beliau.

Mohd Taib dalam pada itu berkata, pihaknya menyambut baik peluang menjadi tuan rumah bagi konvensyen tahun ini.

“Selain memberi nama baik pada KUIM, ia juga pada masa yang sama membolehkan kami mengenal pasti tokoh tokoh pendakwah muda di kalangan pelajar kami,”katanya.

Terdapat hampir 400 orang SY di KUIM dan lebih 16,000 di 30 universiti di seluruh negara.

KUIM dipilih sebagai tuan rumah 2018  kerana  SY KUIM merupakan Johan Anugerah Konvensyen Kebangsaan Sahabat YADIM 2017 iaitu Anugerah Organisasi Pimpinan Universiti Terbaik Dan Pentarbiyahan Terbaik.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *