Home » Citra Yadim » Ahli Tabligh ucap terima kasih

Ahli Tabligh ucap terima kasih

PUTRAJAYA – Ahli-ahli Tabligh yang menerima bantuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melalui program Musaadah Covid 19, YADIM mengucapkan terima kasih kepada badan dakwah ini di atas sumbangan yang telah diberikan.

Rata-rata mereka melahirkan rasa syukur dan terima kasih serta berpendapat sumbangan itu mampu mengurangkan sedikit bebanan yang terpaksa mereka tanggung.

Melalui program itu, YADIM memperuntukan sedikit sumbangan wang tunai kepada ahli-ahli Tabligh yang terkesan selepas mereka disahkan positif Covid-19 dan terpaksa menjalani rawatan dan kuarantin.

Seorang penerima bantuan, Mohammad Nooredzwan Shah Norharashid, 40, berkata, bantuan itu sungguh bererti dan memberikan sedikit kelegaan kepadanya yang tidak dapat bekerja kerana didapati positif Covid-19 dan perlu menerima rawatan.

Beliau yang dirawat Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar terpaksa berjauhan dengan isteri dan lapan anaknya yang kini berada di Shah Alam.

Seorang lagi penerima, Tony Alias 43, pula meluahkan rasa syukurnya kerana dalam keadaan kesusahan masih ada pihak yang sudi membantu dirinya.

“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada YADIM di atas bantuan ini dan ini sungguh bererti kepada saya dan keluarga ketika ini,’’ katanya.

Sementara itu, Muhammad Husaini Mat Saidi, 23, yang menerima bantuan bagi pihak ayahnya Mat Saidi Harun, bersyukur kerana bantuan itu dapat sedikit sebanyak membantu keluarganya yang hilang mata pencarian kerana ayahnya tidak boleh berniaga pada waktu ini.

“Ayah berniaga roti canai, jadi apabila keadaan sekarang kami sekeluarga hilang mata pencarian. Alhamdulillah masih ada pihak seperti YADIM yang menghulurkan bantuan. Terima kasih,’’ katanya.

Azmi Sukimi, 42, pula yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, akan menggunakan bantuan yang diterima itu sebaik mungkin terutama untuk keperluan keluarganya.

YADIM melalui Program Musaadah Covid-19, menyasarkan membantu ahli-ahli jemaah Tabligh yang terkesan akibat wabak berkenaan, selain pelajar dan petugas barisan hadapan.

Melalui program ini juga, orang ramai juga boleh membantu dengan menyumbang kepada Tabung YADIM Peduli Covid-19. Terdapat dua cara mudah untuk menyumbang.

Pertama, layari laman web YADIM dan klik di ruangan ‘Sumbangan Dana’. Seterusnya ikuti panduan yang diberikan, atau hulurkan sumbangan anda ke akaun 5660 1062 5428 (Maybank).

Setiap sumbangan layak mendapat pelepasan potongan cukai.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *