Home » Lagenda » Aisyah Di Mata Rasulullah

Aisyah Di Mata Rasulullah

Oleh IBANAH SUHROWARDIYAH SHIAM MUBAROKAH

Dalam khazanah dan pemikiran Islam, Saidina Aisyah RA merupakan individu yang berperanan besar dalam sejarah perjalanan Islam sehingga ke hari ini. Sebagai isteri kesayangan dan individu yang paling dekat dengan Nabi Muhammad SAW, sudah tentu banyak perkara dan pelajaran penting yang diperolehi Aisyah. Oleh sebab itu, Aisyah dikenali sebagai insan luar biasa yang tidak hanya membantu Nabi dalam urusan rumah tangga, malahan juga berperanan sebagai pendamping penting dalam urusan masyarakat dan negara.

Kita tidak dapat membayangkan sekiranya Islam tidak lahir, sudah tentu nasib kaum wanita tetap tidak terbela dan terhormat sepertimana kedudukan ‘teman setilam’nya (kaum lelaki), akan tetapi lebih daripada itu, kaum wanita terancam ‘punah’ akibat tradisi jahiliah sebelum kedatangan Islam yang ‘alergik’ terhadap wanita dengan cara menanam hidup-hidup setiap wanita yang lahir di muka bumi.

Wanita yang digelar sebagai Ummul Mukminun (ibu orang-orang mukmin) itu merupakan first lady negara Madinah yang menjadi saksi penting kepimpinan Nabi Muhammad SAW dalam menerajui negara dan ummat Islam sehingga ke detik-detik akhir kemangkatan Baginda Rasulullah SAW. Siti Aisyah juga individu yang paling sibuk bagi merawat Rasulullah sejak sakit sehingga kewafatan Baginda di atas pangkuan Aisyah.

Keperibadian dan watak Aisyah menjadi daya kekuatan bagi Nabi yang begitu mencintainya sehingga menggelarnya sebagai ‘humairo’ (kemerah-merahan – Nabi sering menggodanya hingga menyebabkan Aisyah tersipu malu dan memerah pipinya). Karakter Aisyah merupakan gabungan kedewasaan dan kematangan jiwa yang dimiliki oleh Khadijah RA, isteri pertama Nabi dan watak Aisyah sendiri yang dikenali mempunyai paras kecantikan yang mempesona, daya intelektual tinggi dan kematangan personaliti yang tiada tandingannya.

Di mata Nabi SAW, Aisyah merupakan isteri yang istimewa. Lantaran itu, Baginda telah meminta izin kepada isteri-isteri yang lain untuk ‘memperuntukkan’ masa lebih lama berbanding isteri yang lain. Di antara isteri-isteri Rasulullah SAW, Saudah bin Zum`ah sangat memahami keistimewaan Aisyah, sehingga sebahagian besar malam bahagiannya direlakan untuk Aisyah.

Aisyah sentiasa mengenakan pakaian yang bagus dan selalu berhias untuk Rasulullah SAW. Menjelang wafat, Rasulullah SAW meminta izin kepada isteri-isterinya untuk beristirahat dirumah Aisyah selama sakitnya hingga wafat. Dalam hal ini Aisyah berkata: “Merupakan kenikmatan bagiku kerana Rasulullah SAW wafat dipangkuanku.”  Ini merupakan penghormatan dan kenikmatan yang besar bagi Aisyah kerana dapat menjaga Baginda Nabi hingga akhir hayat.

Pesona Aisyah semakin sempurna seiring dengan kecemerlangan otaknya dan bakatnya dalam aspek kepimpinan. Aisyah merupakan individu yang amat luas ilmu pengetahuannya. Disebabkan ketekunan dan kesungguhannya belajar, beliau menguasai pelbagai bidang keilmuan seperti ulumul Quran, Hadis, fiqh, bahasa Arab dan syair. Sebagai peribadi yang paling rapat dengan Rasulullah dan kerap menyaksikan proses turunnya wahyu, Aisyah RA turut dikenali sebagai periwayat hadis yang produktif dan dipercayai.

Terdapat pendapat yang menyatakan Aisyah telah menghafal dan meriwayatkan sebanyak 2210 hadis sehingga beliau digelar sebagai Al Mukatsirin iaitu orang yang banyak meriwayatkan hadis. Keluasan ilmu dan kecemerlangannya membuat Aisyah menjadi salah satu tokoh yang menjadi rujukan kaum muslimin terutama golongan wanita bagi merungkai persoalan dan hukum hakam agama.

Selain kecerdasan otaknya, Aisyah juga dikenali sebagai peribadi yang dermawan. Dalam sebuah kisah diceritakan bahawa Aisyah pernah menerima wang sebanyak 100,000 dirham. Kemudian beliau meminta para pembantunya untuk mengagih-agihkan wang tersebut kepada fakir miskin tanpa menyisakan satu dirham pun untuk kegunaan dirinya. Harta duniawi tidak menyilaukan Aisyah RA. Meskipun pada masa itu kedudukan ekonomi negara amat baik, namun Aisyah RA tidak mengambil kesempatan menggunakan kemudahan negara tetapi hidup dalam kesederhanaan sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.

Dalam konteks kepimpinan, peristiwa perang Jamal jelas menunjukkan bahawa Aisyah merupakan tokoh yang disegani dan berwibawa dalam memimpin pasukannya. Walaupun peristiwa itu bersifat kontroversial kerana aspek penentangannya kepada kekhalifahan Ali bin Abi Talib, namun peristiwa itu menjadi petunjuk penting kepada kemampuannya memobilisasi sokongan dan memantapkan barisan tenteranya menentang apa yang dianggap sebagai menegakkan ‘kedaulatan undang-undang’ berikutan kes pembunuhan Uthman bin Affan.

Penglibatan Aisyah sendiri mengetuai ketenteraan menyerlahkan bakat kepimpinan politik yang sebahagian besar menginterpretasikan sebagai ‘wilayah’ garapan kaum lelaki. Oleh yang demikian, isu-isu mengenai feminisme dan kesetaraan gender yang selama ini sinonim tumbuh dan berkembang di dunia Barat jelas jauh ketinggalan dengan apa yang telah dipraktikkan oleh Aisyah tersebut.

Meskipun gerakan feminisme sendiri baru dikenali dan dipopularkan oleh Hubertine Auclert di Perancis pada akhir tahun 1880-an, boleh jadi gerakan kaum wanita ini hanya ‘imitasi’ dan ciplakan dari apa yang telah dicontohkan oleh Aisyah. Hal ini kerana sesungguhnya Aisyah lah yang menjadi peletak asas kepada kesedaran terhadap kesamarataan kaum wanita dan pendedahan kepada kemampuan wanita sebagai pemimpin politik dan kenegaraan.

Kemampuan yang ditinggalkan Aisyah ini tentu saja tidak berlaku secara tiba-tiba. Ketokohan dan kecemerlangan Aisyah pada hakikatnya sudah diisyaratkan jauh sebelum Rasulullah SAW sendiri meminang Aisyah sebagai isteri. Jodoh dan suratan takdir Aisyah sebagai isteri Rasulullah SAW dijelaskan dalam satu riwayat bahawa malaikat Jibril ‘menjodohkan’ Baginda dengan Aisyah yang disifatkan sebagai isteri dunia akhirat. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Tirmidzi dalam hadis, Jibril membawa gambar Aisyah dalam sepotong sutera hijau dan berkata kepada Nabi Muhammad: “Ini adalah isterimu di dunia dan akhirat”.

Selain faktor ‘campur tangan’ kekuatan transendental (takdir dan isyarat Malaikat) dalam diri Aisyah, sudah tentu didikan dan pembelajaran secara terus menerus daripada Rasulullah menggilap kemampuan semula jadi Aisyah. Sebagai isteri yang bertuah kerana paling lama mendampingi Baginda di Madinah, Aisyah semakin mengasah kemampuannya dalam pelbagai aspek kehidupan dengan bimbingan dan penyeliaan langsung daripada Rasulullah.

Kecemerlangan dan daya intelektual Aisyah merupakan karya suami yang mendidiknya dengan penuh cinta sejati dan kasih sayang menjadikan kehidupan rumah tangga mencetak keperibadian yang unggul sehingga menjadi ikutan setiap muslimah.Gabungan antara pesona kecantikan dan kecemerlangan fikiran Aisyah menjadikan rumah tangga Nabi sebagai rumah tangga yang ideal atau bayti jannati (rumahku syurgaku).

Sumbangan dan peranan Saidina Aisyah RA sama ada dalam kehidupan rumah tangga bersama Rasulullah SAW mahupun dalam konteks kehidupan sosial bermasyarakat menunjukkan Islam merupakan agama pembebas, agama pencerahan dan yang paling penting ialah agama yang memberi tempat yang istimewa kepada kaum hawa.

Melalui Aisyah juga, Islam memberi contoh dan tauladan kepada umatnya bagaimana membentuk keluarga yang harmoni, mesra dan penuh kasih sayang sepertimana yang digambarkan dalam al- Quran sebagai keluarga sakinah, mawaddah dan rahmah yang menjadi idaman kepada setiap pasangan suami isteri hari ini hingga akhir zaman kelak. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *