Home » Langit Terbuka » Pusat aktiviti mualaf dibina di Kota Tinggi

Pusat aktiviti mualaf dibina di Kota Tinggi

KOTA TINGGI 11 Okt. – Sebuah pusat aktiviti untuk saudara baharu akan dibangunkan di daerah ini yang bakal menjadi lokasi untuk golongan mualaf mengikuti kelas pengajian serta mendalami ilmu agama.

Penolong Pengarah Unit Ukh­wah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Mohd. Fauzi Bachok berkata, pembangunan pusat ak­tiviti tersebut telah dirancang bersama-sama Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique serta agensi lain ketika beliau memegang jawatan sebagai Pentadbir Agama Daerah Kota Tinggi sebelum ini.

Beliau yang baru bertukar ke ibu pejabat berkata, pusat aktiviti tersebut dibangunkan di Jalan Lombong dan Jalan Abd. Aziz (bersebelahan Hospital Kota Tinggi) untuk memudahkan saudara baharu melaksanakan akti­viti khususnya kelas pengajian harian dan hujung minggu.

“Turut dicadangkan adalah penyediaan kemudahan pengina­pan sekiranya kursus memerlukan peserta bermalam di pusat berkenaan. Saya akan pastikan pembangunan Darul Ukhwah ini akan dapat dijayakan.

“Di samping itu, kita juga meran­cang untuk membangunkan pusat pengajian al-Quran dalam Parlimen Tenggara. Insya-Allah kehadiran kadi baharu di daerah ini akan membantu menjayakan hasrat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Jubah Kepada Jurunikah, Imam Masjid dan Surau serta Kit Jenazah Dalam Kawasan Parlimen Tenggara Tahun 2016 di Dewan Teratai, Kampung Batu Ampat, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Kadi Daerah Kota Tinggi, Suhaimi Rebu; Imam Daerah Kota Tinggi, Mohd. Nazri Muda dan Ketua Kampung Batu Anpat, Hairudin Aripin.

Mohd. Fauzi berkata, pihaknya juga merancang membina rumah transit dan rumah penggerak dalam kawasan perkampungan Orang Asli kerana JAIJ dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meletakkan penggerak untuk memantau dan membantu saudara baharu agar lebih memahami dan mendalami agama Islam.

Dalam pada itu, Halimah yang juga Timbalan Menteri Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan me­ngucapkan penghargaan kepada Mohd. Fauzi kerana telah banyak bekerjasama melaksanakan program keagamaan di kawasan tersebut.

https://www.utusan.com.my/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *