Al-Kauthar

0
4080

Salah satu surah yang diturunkan oleh Allah s.w.t untuk ‘menghibur dan menenangkan jiwa’ Nabi Muhammad s.a.w daripada hinaan ejekan kaum musyrik adalah surah al-Kauthar. Kaum musyrik mengejek bahawa ajaran Nabi Muhammad s.a.w akan terputus kerana menganggap Nabi Muhammad tidak mempunyai keturunan. Oleh hal demikian itu, Allah s.w.t menurunkan surah al-Kauthar untuk membantah pemikiran salah kaum musyrik.

Surah al-Kauthar termasuk surah al-Makkiyyah (surah yang ayatnya diturunkan di Mekah). Dilihat daripada urutannya di dalam al-Quran, maka surah al-Kauthar adalah surah ke-108, sesudah surah al-Maa’un. Ditinjau daripada urutan wahyu yang diturunkan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w, maka surah al-Kauthar merupakan wahyu ke-14 setelah surah al-’Aadiyat.

Penamaan surah al-Kauthar berasal daripada bunyi akhir ayat pertama surah itu, “al-kauthar” ada beberapa pendapat yang mengemukakan tentang makna kata itu. Makna yang pertama yang sangat popular adalah sungai di syurga. Makna itu menggambarkan kenikmatan yang akan diperoleh kelak oleh orang-orang yang beriman. Makna kedua adalah keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Adapun makna yang ketiga adalah nikmat atau kurnia yang banyak, Banyak ulama yang berpegang pada makna yang terakhir itu kerana pengertian yang ketiga dianggap sudah mencakupi kedua-dua pengertian sebelumnya.

- advertisement -

 Surah Al-Kauthar mengandungi ajaran tentang kewajipan bersyukur atas nikmat yang telah dilimpahkan Allah s.w.t. Mensyukuri nikmat Allah s.w.t biasa dilakukan dengan cara beribadah seperti solat dari berkorban. Di samping itu surah ini juga berisi peringatan kepada orang-orang yang suka membenci. Allah s.w.t akan memutus rahmat-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat. Dalam surah ini terkandung isyarat bahawa Nabi Muhammad s.a.w akan memiliki pengikut yang banyak sampai hari kiamat.

Pada masa Nabi Muhammad s.a.w, para pengubah syair sangat banyak. Mereka sering kali mencuba untuk menyaingi wahyu Allah s.w.t yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Salah seorang di antara mereka adalah Musailamah. Dia pernah mengubah syair yang mirip dengan surah al-Kauthar. Isi syair gubahannya ialah:  “Sesungguhnya kami menganugerahkan kepadamu permata-permata. Maka solatlah kepada tuhanmu dan nyatakanlah.”

Namun, apa yang telah dilakukan itu telah mendapat cemuhan. Masyarakat Islam pada masa itu menganggap syair gubahan itu sangat buruk. Keinginan untuk menyaingi al-Quran gagal. Bahkan tidak dapat menandingi surah yang terpendek sekalipun, seperti al-Kauthar. Ini merupakan salah satu bukti bahawa kebenaran al-Quran tidak mungkin disaingi oleh sesiapa pun, meskipun satu surah sekalipun (rujuk surah al-Baqarah: 23)

Surah al-Kauthar merupakan surah terpendek dalam al-Quran, iaitu terdiri di atas tuga (3) ayat, Para ulama berpendapat bahawa surah itu merupakan tentangan terhadap orang-orang yang ragu terhadap kebenaran al-Quran dan mencabar mereka untuk menyusun surah seperti itu.

Dalam ayat pertama surah al-Kauthar, kata “kauthar” yang ditafsirkan oleh para sufi sebagai sumber mata air samawi yang suci. Dalam air ini terdapat kurnia dan hikmah yang tidak terbatas, rahmat dan segala kebaikan, kebenaran, kearifan, kekuatan rohani, dan wawasan yang mendalam yang telah diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan semua hamba Allah s.w.t, baik lelaki mahupun perempuan yang ikhlas. Menurut para sufi, sumber mata air merupakan perumpamaan hikmah menghilangkan rasa dahaga rohani manusia yang haus akan hal itu.

 Susunan oleh Norimah Hassan

Sumber daripada https://ummatanwasatan.net

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here