Home » Langit Terbuka » Perbicaraan Kalimah Allah ditangguhkan

Perbicaraan Kalimah Allah ditangguhkan

Ngo Islam

Ngo Islam
PUTRAJAYA, 10 Sept – Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan penghakiman berhubung rayuan dikemukakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penerbitan mingguan Katolik, The Herald, menggunakan kalimah ‘Allah’.

 

Panel tiga anggota dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali menyatakan mahkamah akan menyampaikan penghakimannya menjelang Oktober.

Hakim Mohamed Apandi berkata mahkamah menangguhkan keputusannya ke satu tarikh akan ditetapkan kemudian kerana mereka memerlukan masa untuk meneliti hujahan, pelbagai dokumen dan lampiran.

“Kami akan memberikan penghakiman bertulis. Kami tidak akan mengambil masa terlalu lama. Kami mengambil kira sebagai notis kehakiman akan kehadiran kumpulan orang ramai di luar mahkamah yang dengan sendirinya menunjukkan sensitiviti kes ini,” kata Hakim Mohamed Apandi yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 16 Feb, 2010, gereja itu memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada “Tuhan” dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Dis, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan batal.

Kerajaan kemudiannya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili kerajaan, peguam-peguam yang mewakili enam Majlis Agama Islam Negeri, Persatuan Cina Muslim Malaysia dan peguam mewakili Gereja Katolik.

Suzana berhujah Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam versi Bahasa Malaysia The Herald atas sebab keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Katanya perintah larangan itu dikeluarkan kerana ia menyentuh sensitiviti agama Islam.

Suzana berkata penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam versi Bahasa Malaysia The Herald sebagai terjemah perkataan ‘Tuhan’ mungkin akan menimbulkan kekeliruan, sensitiviti agama dan menjejaskan keharmonian orang Islam dan
penganut Kristian.

“Kalimah ‘Allah’ bukan sekadar perkataan atau terjemahan perkataan Tuhan seperti digambarkan dalam The Herald.

“Umat Islam di negara ini amat sensitif akan isu agama, khususnya penggunaan kalimah ‘Allah’. Ini kerana sekiranya seseorang merujuk kepada Allah, ia merujuk kepada Tuhan untuk umat Islam.

“Kalimah ‘Allah’ amat suci bagi umat Islam dan diletakkan pada kedudukan paling tinggi dan kesuciannya mesti dilindungi.

“Kalimah Allah merujuk kepada ‘keesaan’ dan tidak boleh menjadi sebahagian konsep Triniti iaitu Father (Bapa Tuhan), Son (Anak Tuhan) dan Holy Ghost (Roh Ghaib),” jelas beliau.

Suzana berkata Menteri Dalam negeri telah bertindak mengikut “bidang kuasa mutlak” untuk melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah “Allah” dan undang-undang memberikan bidang kuasa itu kepada beliau, dan dengan itu mahkamah perlu berhati-hati dalam membuat semakan semula terhadap keputusan berhubung perkara itu.

Suzana berkata Menteri Dalam Negeri juga bertindak mengikut undang-undang dan perlembagaan selaras dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk membuat keputusan melarang penerbitan itu menggunakan kalimah tersebut.

Beliau berkata menteri juga mengambil kira pertimbangan relevan seperti keselamatan awam dan ketenteraman awam, pelbagai enakmen mengenai kawalan dan larangan ke atas penyebaran doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan umat Islam, dasar-dasar kerajaan dan sensitiviti agama.

Tiada bukti bahawa menteri telah bertindak dengan niat tidak baik atau tidak munasabah, katanya dan menurutnya larangan itu sebenarnya merupakan langkah pencegahan awal oleh menteri.

Peguam Mubashir Mansor, mewakili Majlis Agama Islam Negeri Terengganu, berkata The Herald turut disiarkan secara online, dengan itu boleh diakses oleh orang Islam.

Terdapat enakmen di Terengganu yang mengharamkan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam, katanya dan menurutnya enakmen itu bertujuan menghalang bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.

Peguam Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, mewakili Majlis Agama Islam Selangor, berhujah tidak wujud penggunaan kalimah “Allah” dalam Bible versi bahasa Inggeris.

Oleh itu, katanya adalah tidak sesuai untuk menterjemahkan ‘God’ (Tuhan) sebagai Allah yang merujuk kepada Tuhan umat Islam.

Beliau berkata Islam mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan dan hal ehwal Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri dan di bawah Putrajaya bagi wilayah-wilayah persekutuan. – BERNAMA

Sumber daripada https://www.ismaweb.net/v4/2013/09/herald-mahkamah-rayuan-tangguh-penghakiman-berhubung-rayuan-kerajaan/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *