Home » Langit Terbuka » Alhamdulillah, dapat baju dan beg sekolah…

Alhamdulillah, dapat baju dan beg sekolah…

Kesemua 20,979 pelajar kurang berkemampuan akan menerima bantuan persekolahan secara berperingkat dari LZNK - Foto NSTP

ALOR SETAR – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan lebih RM1.3 juta bagi bantuan pakaian sekolah kepada 20,979 murid kurang berkemampuan dari 458 sekolah rendah seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syeikh Zakaria Othman berkata, pemilihan murid terbabit dilakukan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Katanya, agihan dibawah Bahagian Pembangunan Asnaf LZNK itu bermula hari ini (23 Disember) dan murid sekolah Kuala Muda menjadi daerah pertama menerima bantuan itu.

“Hari ini seramai 3,486 murid daerah Kuala Muda dari 79 sekolah menerima bantuan iaitu bilangan yang teramai diikuti Kota Setar, 3,180 murid dan Kubang Pasu, 2,552 murid

“Daerah lain pula adalah Baling seramai 2,403 murid, Kulim (1,760), Pendang (1,751), Yan (1,100), Sik (1,091), Pulau Langkawi (998), Padang Terap (987), Pokok Sena (854) dan Bandar Baharu (817), semua murid ini akan menerima bantuan berkenaan secara berperingkat sebelum hujung bulan ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, setiap murid akan menerima sepasang pakaian sekolah serta beg.

Katanya, bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban waris terutama yang mempunyai bilangan anak yang ramai.

“LZNK akan terus memantau murid miskin di negeri ini dengan bantuan pihak sekolah menyalurkan maklumat kepada kita.

“Bantuan ini juga mampu membantu memberikan semangat kepada murid untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengubah taraf hidup keluarga masing-masing pada masa hadapan,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *