Home » Langit Terbuka » Amrin dilantik Pengarah Urusan Kumpulan, CEO TH baharu

Amrin dilantik Pengarah Urusan Kumpulan, CEO TH baharu

Pelantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin berkuat kuasa 6 Mei dan dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). - Foto TheEdgeMarket

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu menggantikan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

TH dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu berkuat kuasa 6 Mei ini dan dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“TH mengumumkan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 5 Mei 2021.

“Amrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menggantikan Mohd Hasyudeen yang menerajui TH sejak 1 September 2019,” jelas kenyataan itu pada 28 April.

Dalam kenyataan sama, Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof, berkata beliau yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas dimiliki Amrin akan dapat membawa TH ke tahap lebih cemerlang dan membanggakan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nik Mohd Hasyudeen di atas komitmen serta usaha memajukan TH sebagai institusi Islam dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus baik.

Amrin mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor korporat dan memulakan kariernya di institusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Putera Capital Berhad.

Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Natseven TV Sdn Bhd (NTV7), Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Media Prima Berhad, Sime Darby Property Berhad, Boustead Holdings Berhad dan LTAT.

Beliau adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England.

Amrin juga adalah ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), United Kingdom dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA).

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *