Home » Ensiklopedia » Anugerah Ibu Mithali

Anugerah Ibu Mithali

Penganugerahan ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa peranan ibu dalam pendidikan adalah tanggungjawab yang amat besar dan mulia di sisi Allah SWT dengan matlamat untuk membuktikan kepentingan pendidikan dapat mengubah status sosial keluarga dan dapat mencorakkan masa depan masyarakat dan negara.

Salah satu kunci keluarga sakinah adalah adanya rasa cinta dan kasih sayang di antara ahli keluarga bermula daripada ikatan pernikahan yang dibangun di atas semangat saling membahagiakan mengikut ketetapan agama. Al-Quran menggariskan salah satu tujuan pernikahan adalah untuk menciptakan keluarga sakinah, mawaddah warahmah antara suami dan isteri bersama anak-anaknya. Firman Allah SWT:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya (sakinah), dan dijadikan-Nya diantaramu mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Ruum, ayat 21)

ANUGERAH IBU MITHALI

Peranan serta kepakaran kaum wanita di dalam pembangunan bangsa dan negara tidak dapat dinafikan kepentingannya. Justeru, YADIM menerusi Hal Ehwal Wanita (HELWA) dan kemudiannya Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) ditubuhkan sebagai sebuah badan untuk menggembleng tenaga dan kepakaran kaum wanita serta badan-badan NGO wanita bagi memartabatkan dan menggerakkan potensi kaum wanita, kuasa intelek dan keprihatinan mereka untuk membangunkan ummah. Di antara program MPWIM yang mendapat sambutan menggalakkan ialah Majlis Penganugerahan Ibu Mithali.

Dalam masyarakat mana sekalipun, ibu adalah pihak yang memainkan peranan penting dalam membantu membina kemajuan dan kejayaan sesuatu keluarga. Khususnya dalam masyarakat Melayu, ibu paling berperanan dalam sesuatu keluarga dan paling hampir kepada anak-anak mereka. Menyedari hakikat inilah maka pada tahun 1980, YADIM telah memulakan anugerah khusus bagi kaum ibu yang diberi nama Anugerah Ibu Mithali. Idea untuk diadakan suatu anugerah khas bagi menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu yang berjaya melahirkan keluarga yang bahagia dan anak-anak yang berjaya serta terserlah jasa dan sumbangannya di kalangan masyarakat setempat ini telah diutarakan secara halus oleh Yang Dipertuanya yang kelima iaitu Tan Sri Mohd Yusof Noor yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri bagi mengalih perhatian masyarakat pada waktu itu yang cenderung dengan isu pertandingan ratu cantik.

Selain itu, anugerah ini merupakan suatu penghormatan dan penghargaan kepada kaum ibu yang banyak berjasa kepada keluarga mereka khususnya dan kepada masyarakat dan negara pada amnya. Sudah tentu ibu yang bekenaan boleh dicontohi dan diambil teladan sebagai ibu yang berjaya mendidik anak-anaknya dan menceriakan keluarganya. Ianya bertujuan untuk memberi perangsang dan kesedaran kepada kaum ibu tentang peranan mereka sebagai ibu dalam membimbing dan mendidik anak-anak mereka disamping berbakti kepada masyarakat.

Penganugerahan ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa peranan ibu dalam pendidikan adalah tanggungjawab yang amat besar dan mulia di sisi Allah SWT dengan matlamat untuk membuktikan kepentingan pendidikan dapat mengubah status sosial keluarga dan dapat mencorakkan masa depan masyarakat dan negara.

Kriteria dan syarat pemilihan yang teliti menjadikan anugerah ini berada dalam kelasnya yang tersendiri. Kriteria pemilihan telah bersetuju bahawa calon-calon ibu bagi anugerah ini mestilah mempunyai ciri-ciri berikut:

1. KETAKWAAN: Ibu muslim yang komited dengan nilai-nilai Islam.
2. PENGORBANAN: Ibu yang telah mencurahkan seluruh tenaganya dalam menjayakan cita-cita pendidikan anak-anak.
3. KEIBUAN: Ibu yang berjaya mencipta keluarga yang penuh harmoni, berkasih sayang di antara satu sama lain.
4. BILANGAN ANAK: Ibu yang mempunyai anak ramai.
5. KEJAYAAN ANAK: Ibu yang berjaya mendidik anak-anaknya sehingga berjaya dalam hidup mereka dan dapat dicontohi oleh keluarga dan masyarakat.

Majlis anugerah paling lama diwujudkan di negara ini juga telah dianugerahi kepada seramai sebelas orang ibu yang layak. Para ibu yang telah menerima penganugerahan tertinggi ini adalah:

1. Allahyarham Hajah Enjah Mohd Arif (14 Disember 1980)
2. Allahyarham Hajah Wan Mas Wan Ibrahim (16 April 1984)
3. Hajah Wan Meriam Wan Ahmad (15 November 1985)
4. Allahyarham Hajah Zabedah Shahid (20 Oktober 1988)
5. Hajah Ayot@Rokayah Rajak (25 Februari 1991)
6. Allahyarham Hajah Maimon Abdullah (18 Oktober 1994)
7. Hajah Kamariah Alang Mat Nasid (26 November 1999)
8. Hajah Kalsom Abdullah (21 September 2002)
9. Esah Din (25 November 2007)
10. Awiah Awi (14 Oktober 2010)
11. Fatimah Ab Rahman (30 Ogos 2014)

Pencalonannya dibuat oleh Jabatan Agama Islam negeri-negeri, pertubuhan-pertubuhan wanita, organisasi dakwah dan sebagainya. Pemilihan dilakukan oleh sebuah jawatankuasa pemilih yang dianggotai oleh tokoh-tokoh dalam bidang pendidikan, agama, politik dan kemasyarakatan. Antara mereka yang pernah berkhidmat dengan jawatankuasa ini ialah Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Paduka Aishah Ghani, Tan Sri Zaleha Ismail, Puan Sharifah Dora, Puan Salmi Manja, Dato Prof Dr Nik Sufiah Karim, Prof Dato Dr Asmah Haji Omar, Puan Habsah Othman, Datin Seri Cempaka Hajah Kontek Kamariah Ahmad, Drs Hafsah Abdul Rahman dan lain-lain. Semua hadiah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ketika itu. – ABABIL

Artikel Berkaitan

YADIM Kedah dan Perlis: Ziarah Madani Mualaf

MENJELANG Syawal tidak lama lagi, adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memupuk semangat kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama Muslim termasuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *