Home » Langit Terbuka » Mapim kerah NGO Asean tangani isu Rohingya

Mapim kerah NGO Asean tangani isu Rohingya

Gambar hiasan. Penderitaan rakyat Rohingya perlu diberi perhatin oleh semua pihak.

SHAH ALAM 5 Feb. –  Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sedang menggerakkan jaringannya bersama NGO daripada negara-negara Asean bagi memberi tekanan berterusan kepada kerajaan Myanmar.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, inisiatif baharu itu dilaksanakan dengan mengerah NGO-NGO di negara Asean untuk bersama-sama meningkatkan usaha dalam mencari penyelesaian terhadap isu kemanusiaan melibatkan etnik Rohingya.

“Negara-negara Asean nampaknya gagal merubah situasi yang melanda masyarakat Islam di Rakhine walaupun bukti genosid dengan pengakuan tentera Myanmar yang menemukan kubur mangsa etnik Rohingya namun tiada tindakan dilakukan kepada pihak terlibat.

“Maka oleh sebab itu Mapim melihat perlunya satu gerakan bersepadu melibatkan NGO di seluruh peringkat rantau Asean digembleng dalam mencari penyelesaian terhadap perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun kelemahan negara Asean sangat mengecewakan banyak pihak, namun Mohd Azmi berkata Mapim berpandangan isu ini seharusnya ditangani dengan mendapat penglibatan di peringkat serantau.

Menurutnya, Mapim sedang menjalinkan kerjasama dengan jaringan NGO kemanusiaan, Syekhul Islam Thailand bagi mengkoordinasi misi kemanusiaan di samping melakar strategi advokasi berkesan untuk menekan kerajaan Myanmar.

“Malah, tekanan ke atas tentera dan Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi juga perlu diteruskan dan di perhebatkan bagi membela nasib masyarakat Islam yang ditindas di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azmi turut mengingatkan agensi-agensi antarabangsa bahawa isu utama yang perlu diberi perhatian adalah melibatkan jenayah genosid dan pembersihan etnik dilakukan oleh tentera Myanmar dan puak nasionalis Buddhis ke atas etnik Rohingya.

Beliau berkata, dunia tidak seharusnya beralih fokus daripada isu utama iaitu mengenai penafian kerakyatan dan genosid yang secara terus-menerus dilakukan oleh kerajaan Myanmar ke atas penduduk Islam di sana.

“Kerajaan Myanmar cuba mengalih fokus dunia kepada persetujuan penghantaran balik pelarian dari Bangladesh ke negara itu namun isu utama yang tidak mahu diberi perhatian ialah mengenai jenayah genosid serta pemusnahan perkampungan Rohingya secara berterusan berlaku sehingga kini,” katanya.

Tambah beliau, Mapim turut mendesak Asean untuk mengadakan sidang tergempar sekali lagi bagi membolehkan Myanmar memberi kebenaran untuk siasatan bebas dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kawasan Rakhine.

“Jika ini tidak dilayan oleh Myanmar  maka tindakan drastik yang terakhir ialah dengan memboikot dan memecat negara itu daripada Asean,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *