“SAYA Mahu memberi inspirasi walau di mana saya ditempatkan dan berada”.
“Kemenangan ini bukan milik saya seorang, tetapi semua 31 pelatih program ini,”ujar Daie Muda YADIM (DMY) Nurul Syuhada’ Mohd Kamil yang meraih Anugerah Perdana Daie Muda dalam Pentas Akhir Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) yang berlangsung pada 31 Julai di Masjid Putra, Putrajaya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah) dari Universiti Sultan Zainal Abidin ini yang memukau juri dan hadirin dengan tajuk persembahan ‘Aku Content Creator, Viral Dengan Nilai Dan Berhikmah Di Alam Maya’ turut meraih anugerah Anugerah Muslimah Inspirasi yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000.
Lebih manis, Syuhada’ turut menjadi finalis wanita pertama yang memenangi Anugerah Perdana Daie Muda selepas tujuh siri Pentas Akhir ADMY berlangsung.
DMY Muhammad Luqman Suhairi pula meraih Anugerah Imam Muda manakala DMY Nursyazwina Zaidi dipilih sebagai pemenang Anugerah Daie Qudwah. Kesemua pemenang setiap kategori membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi, baucar produk Kimyra, hamper dan sijil.
Tiga lagi finalis iaitu DMY Sophiah, DMY Faizikri dan DMY Aida pula meraih hadiah saguhati RM1,000, baucar produk Kimyra, hamper dan sijil.
Hadiah telah disampaikan oleh Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom diiringi Ketua Pegawai Eksekutif, Ustaz Zamri Zainal Abidin.
Ketika merasmikan majlis, Datuk Dr. Hasan dalam ucapannya berpesan agar semua pelatih ADMY terus istiqamah dalam perjuangan dakwah dan menegaskan bahawa kesemua mereka bukan sahaja seorang pendakwah, tetapi juga pemimpin masa hadapan.
Terdahulu, Ustaz Zamri dalam ucapan aluannya pula berharap agar para pelatih DMY ini bukan sahaja bijak berdakwah, sebaliknya perlu juga menunjukkan teladan yang baik untuk masyarakat.
Lebih 400 tetamu memenuhi Auditorium Ibnu Sina di Masjid Putra bagi mengikuti Pentas Akhir ADMY kali ini termasuklah barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, pengurusan kanan badan dakwah ini, rakan strategik, ahli keluarga pelatih dan orang ramai.
YADIM ingin mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), rakan-rakan strategik, para juri dan semua yang membantu menjayakan Pentas Akhir ini.
Terima kasih juga kepada barisan penaja iaitu syarikat Kimyra International, Halal Gel, UBB Amanah Berhad, Opus Asset Management Sdn Bhd, Hana Dinara dan Faiza.



KOMEN