Home » Ensiklopedia » Apa itu Risale-i Nur?

Apa itu Risale-i Nur?

Risale I Nur kini telah dibukukan.

SEBAGAI Said Baru, Bediuzzaman telah menenggelamkan dirinya dalam lautan al-Quran, mencari jalan untuk menghubungkan kebenarannya kepada manusia moden. Di Barla, dalam pengasingannya, dia mula menulis risalah yang menjelaskan dan membuktikan kebenaran ini, kerana sekarang al-Quran itu sendiri serta kebenarannya berada di bawah serangan secara langsung. Risalah pertama dari koleksi karyanya adalah mengenai kebangkitan semula manusia.

Dengan gaya yang unik, beliau telah membuktikan kebangkitan tubuh secara rasional, di mana para sarjana hebat sebelum ini pun mengakui kelemahan mereka dalam perkara ini. Beliau menyatakan kaedah yang digunakan dalam perkara ini terdiri kepada tiga peringkat: pertama kewujudan Tuhan dibuktikan, kedua nama-nama-Nya (Asma al-Husna) dan ketiga sifat-sifat-Nya dijelaskan. Maka kebangkitan semula manusia yang telah mati dibina berdasarkan kepada perkara-perkara ini dan telah dapat dibuktikan dengan jelas.

Dengan penulisan ini, Bediuzzaman membuka jalan baru kepada hakikat dan ilmu dalam mengenal Allah yang digambarkannya sebagai jalan al-Quran dan jalan para sahabat-sahabat Nabi SAW menerusi ‘warisan kenabian’, yang akan memberi manfaat bagi mereka yang mengikutinya ‘dengan keimanan dan keyakinan yang benar’. Beliau tidak menisbahkan penulisan tersebut kepada dirinya, tetapi adalah dari al-Quran itu sendiri, dan itulah ‘cahaya-cahaya bersinar yang lahir dari kebenarannya’.

Terdapat berbagai bentuk tafsir al-Quran. Berbanding sekadar menjadi terjemahan al-Quran yang menjelaskan ayat-ayat dan perkataan-perkataannya secara langsung dan sebab-sebab penurunannya, Risale-i Nur adalah sebuah kitab yang dikenali sebagai mânevî tafsir (Tafsir Maknawi) yang menjelaskan makna kebenaran-kebenaran yang terdapat di dalam al-Quran.

Ayat-ayat yang kebanyakannya dijelaskan dalam Risale-i Nur adalah yang bersangkutan dengan kebenaran iman, seperti Asma al-Husna dan sifat-sifat-Nya, kegiatan Ilahi di alam semesta, keberadaan Ilahi, ketauhidan-Nya, hari kebangkitan, kenabian, Qada dan Qadar, dan tugas manusia dalam beribadah.

Bediuzzaman menerangkan bagaimana al-Quran menujukan penyampaiannya terhadap semua golongan manusia dalam setiap zaman sesuai dengan tahap pemahaman dan perkembangan mereka; ia mempunyai wajah yang berhadapan dengan setiap zaman. Risale-i Nur, kemudiannya menjelaskan wajah al-Quran yang sesuai dengan zaman ini. Sekarang kita akan melihat aspek lanjut Risale-i Nur berkaitan dengan perkara ini.

Dalam kebanyakan ayatnya, al-Quran mengajak manusia untuk melihat alam semesta dan melakukan refleksi akan kekuasaan Ilahi dan penciptaanNya; dengan hanya melalui kaedah ini, Bediuzzaman memberikan bukti dan penjelasan tentang kebenaran-kebenaran iman.

Beliau mengumpamakan alam semesta itu sebagai sebuah buku, dan melihatnya dengan cara yang ditunjukkan oleh al-Quran, iaitu, ‘membaca’ untuk memahami maksudnya, mengajar manusia tentang Asma al-Husna dan sifat-sifat-Nya dan tentang kebenaran-kebenaran iman yang lain.

Tujuan buku alam ini adalah untuk menggambarkan Pengarangnya dan Penciptanya; makhluk menjadi bukti dan tanda-tanda kepada penciptaannya. Oleh itu, elemen penting dalam metadologi Risale-i Nur adalah refleksi atau merenung (tefekkür), ‘membaca’ Kitab Alam Semesta untuk meningkatkan pengetahuan tentang Ilahi dan memperoleh ‘keimanan yang hakiki dan yakin’ dalam semua kebenaran-kebenaran keimanan.

Bediuzzaman telah menjelaskan kebenaran hakiki seperti tauhid, dengan membuktikan bahawa inilah satu-satunya konsep yang rasional yang mengandungi penjelasan yang logik tentang alam semesta. Melalui perbandingan dengan ahli falsafah Naturalis dan Materialis yang menggunakan penemuan sains berkaitan alam semesta untuk menolak kebenaran dengan menggunakan konsep seperti “Sebab-akibat” dan “Alam Semula Jadi”, Bediuzzaman telah dapat membuktikan bahawa pegangan mereka ini adalah tidak rasional dan secara logiknya, tidak masuk akal.

Sesungguhnya, sains jauh sekali bercanggah dengan tuntutan Tauhid, dalam menyingkap aturan dan mekanisme alam semesta. Di sebaliknya sains memperluas dan memberi petunjuk yang mendalam tentang pengetahuan kebenaran keimanan.

Dalam Risale-i Nur, terdapat banyak penerangan tentang pengaturan Ilahi di alam semesta yang dapat dilihat melalui kaca mata sains. Bediuzzaman, melalui Risale-i Nur telah menunjukkan bahawa tidak terdapat percanggahan atau konflik antara agama dan sains.

Di samping itu, semua perkara yang dibincangkan dalam Risale-i Nur diletakkan sebagai hujah yang munasabah dan terbukti mengikut logik. Semua aspek yang penting tentang kebenaran iman dibuktikan dengan jelas sehinggakan orang yang tidak beriman pun dapat melihat tentang keperluannya. Begitu juga, perkara-perkara yang diilhaminya dari al-Quran, hattakan kebenaran yang paling mendalam, dapat dicapai dengan cara perbandingan, yang memberikan mereka sejelas-jelas kefahaman dan mudah difahami oleh orang biasa dan mereka yang tidak mengetahui tentang persoalan ini sebelumnya.

Satu lagi aspek Risale-i Nur yang berkaitan dengan kebenaran al-Quran yang ditujukan untuk zaman ini ialah ia menjelaskan segala-galanya dari sudut hikmah, mempertimbangkan sesuatu perkara atas pandangan nama Allah yang Maha Bijaksana. Menerusi kaedah ini juga, banyak misteri dalam agama yang dapat diselesaikan, seperti kebangkitan semula jasad, Qada dan Qadar, kebebasan memilih, teka-teki berkenaan aktiviti dalam alam semesta dan gerakan zarah, di mana manusia sebelum ini bergantung atas akal dan falsafahnya yang lemah.

Cara Risale-i Nur ditulis dan disebarkan adalah unik, seperti isi kandungannya itu sendiri. Bediuzzaman akan menyampaikan mengucapkannya kepada seorang penulis, yang akan menulis setiap ucapannya; dengan penulisan sebenar yang sangat cepat. Bediuzzaman tidak mempunyai buku untuk dirujuk dan penulisan tentang agama pada masa itu telah dilarang.

Oleh itu, semuanya ditulis di kawasan pergunungan di luar kota dan juga di penjara. Salinan tulisan tangan kemudian dibuat, secara rahsia, disalin di rumah para pelajar Risale-i Nur, sebagaimana mereka di kenali, dan diserahkan dari kampung ke kampung dan kemudian dari bandar ke bandar, sehingga tersebar di seluruh Turki. Adalah dianggarkan jumlah keseluruhan hasil salinan tulisan tangan ialah 600,000.

Hanya pada tahun 1946, pelajar Risale-i Nur dapat memperoleh mesin penyalin, sehinggalah pada tahun 1956 barulah pelbagai bahagian Risale-i Nur dapat dicetak dalam skrip Latin menggunakan mesin pencetak yang moden. Berdasarkan perkara di atas, jelaslah bagaimana komuniti Risale-i Nur tersebar luas di Turki, walaupun segala usaha di buat untuk menghentikannya. Selepas tahun 1950, tempoh yang Bediuzzaman namakan sebagai ‘Said Ketiga,’ menyaksikan peningkatan yang besar dalam bilangan pelajar Risale-i Nur, terutamanya golongan muda dan mereka yang telah melalui sistem pendidikan sekular republik.

Di samping tulisan-tulisan yang mempunyai kekuatan, faktor utama dalam kejayaan pergerakan ini mungkin dikaitkan dengan kaedah yang telah dipilih oleh Bediuzzaman, yang boleh diringkaskan dengan dua fasa: ‘mânevî jihad’ (maknawi jihad) atau ‘jihad dengan perkataan’ atau ‘jihad bukan fizikal’, dan ‘tindakan yang positif’.

Bediuzzaman menganggap musuh sebenar pada zaman sains, zaman kebebasan berfikir dan tamadun ini adalah materialisme dan atheisme, dan sumber mereka, falsafah materialis. Oleh itu sebagaimana dia memerangi dan mengalahkan mereka dengan bukti-bukti Risale-i Nur yang lojik, begitu juga ianya berfungsi dengan cara mengukuhkan keimanan dan menaikkannya ke tahap ‘keimanan yang hakiki, ataupun keimanan yang meyakinkan’ menjadikan Risale-i Nur sebagai penghalang yang paling berkesan terhadap kerosakan masyarakat yang disebabkan oleh musuh-musuh seperti ini.

Untuk dapat meneruskan ‘jihad perkataan ini’, Bediuzzaman menegaskan supaya pelajarnya mengelak sebarang penggunaan kekerasan dan tindakan yang menyebabkan gangguan keamanan. Melalui ‘tindakan positif,’ serta penjagaan ketenteraman dan keselamatan awam, kerosakan yang disebabkan oleh kuasa-kuasa kekufuran dapat ‘diperbaiki’ oleh kebenaran penyembuhan Al-Qur’an. Dan inilah cara yang pelajar-pelajar Risale-i Nur patuhi sepenuhnya.

Disediakan oleh urus setia SEMINAR DAN BENGKEL  ANTARABANGSA RISALE I NUR  yang diadakan pada 12 Mei ini bertempat di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *