Home » Langit Terbuka » At-Taqwa masjid kerajaan terbaik

At-Taqwa masjid kerajaan terbaik

KUALA TERENGGANU 6 Okt. – De­ngan aktiviti keagamaan berterusan dan tersusun serta penyertaan jemaah yang membanggakan dalam setiap program yang di­sasarkan kepada pelbagai golongan usia, Masjid At-Taqwa, Durian Burung di sini terus diimarahkan.

Ia hasil kerjasama yang erat dan padu antara semua jawatankuasa masjid yang diberikan amanah dan menyusun pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan secara harian, mingguan, bulanan dan berkala untuk penduduk sekitar.

Dari beratus masjid kerajaan di negeri ini, ia dipilih sebagai masjid terbaik kerajaan sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri baru-baru ini, mengulangi apa yang dicapai pada 2011.

Anugerah dalam bentuk wang tunai RM8,000, piala iringan dan sijil penghargaan disampaikan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin kepada pengerusi masjid, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.

Masjid yang dibina pada 1984 ini boleh menampung kira-kira 2,000 jemaah dan mempunyai empat imam yang diketuai oleh Nasharuddin Senawi, dibantu tiga bilal dan pekerja kebersihan.

Mohd. Nasir ketika ditemui berkata, anugerah itu akan terus memotivasikan jawatankuasa masjid untuk terus aktif merangka pelbagai gerak kerja termasuk kemasyarakatan, sekali gus dapat merapatkan silaturahim dalam kalangan penduduk.

Katanya, sepanjang tempoh 2015 dan tahun ini, sebanyak 1,349 program telah diadakan termasuk kuliah subuh, asar dan maghrib, kelas al-Quran, kuliah dhua, tazkirah jumaat, kuliah wanita di samping kursus umrah dan haji.

“Program harian melibat waktu asar, maghrib dan subuh dengan aktiviti kuliah mentafsir al-Quran, hadis dan membaca al- Quran.

“Selain itu turut diadakan program mingguan dan bulanan dengan menjemput penceramah dari dalam dan luar Terengganu untuk membincangkan pelbagai isu,” ujarnya.

Beliau berkata, selain aktiviti keagamaan turut diadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan, kelas al-Quran dewasa dan aktiviti untuk wanita.

Tambahnya, masjid tersebut turut digerakkan sebagai agen kecemerlangan pendidikan kepada anak-anak jemaah di samping menarik lebih ramai golongan muda menjadi Rakan Masjid.

“Kita mahu institusi ini akrab dengan komuniti melalui penyediaan pebagai perkhidmatan, penyebaran pengetahuan terkini serta penyampaian berita komuniti semasa kepada jemaah termasuk melalui laman sosial.

Mohd. Nasir berkata, bagi memudahkan aktiviti dilaksanakan dengan tersusun dan teratur, sebanyak enam biro diwujudkan iaitu biro dakwah, pembangunan dan keceriaan, belia, keselamatan, wanita dan teknologi maklumat.

https://www.utusan.com.my/berita

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *