Home » Citra Yadim » Dato’ Noor Aziah terima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1438

Dato’ Noor Aziah terima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1438

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd Awal hari ini diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1438 Kategori Ilmuan peringkat Wilayah Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (MPWIM), adalah salah seorang daripada empat penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1438 peringkat Wilayah Persekutuan yang menerima anugerah masing-masing hari ini dalam majlis sambutan Maal Hijrah Wilayah Persekutuan di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Noor Aziah, 55 yang kini menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Aluimu) Universiti Kebangsaan Malaysia dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang dinilai terutama penglibatannya dalam bidang keilmuan yang aktif.

Dalam konteks Yadim, beliau juga menjadi ahli Majlis Dakwah Negara (MDN) bermula 2014 dan aktif melibatkan diri dalam program anjuran organisasi ini terutama berkaitan undang-undang keluarga Islam.

Selain beliau, turut menerima anugerah ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin (tokoh utama), Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Sharin Low Abdullah (kategori korporat) dan Supritendan Ghazali Daud (kategori pendakwah).

Turut hadir pada program ini adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),  Datuk Zainal Abidin Jaffar dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi  Yahya .

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *