Home » Persuasif » Bangkitlah wahai umat Muhammad!

Bangkitlah wahai umat Muhammad!

sumber

Seorang lelaki sibuk membelek kalendar meja. Baru perasan yang tidak lama lagi bulan Muharam akan menjelma. Dia mula teringatkan sesuatu lalu segera mencapai telefon pintar yang berada dalam clutch.

Hujung jari telunjuk terus ditolak ke atas ke bawah, ke kiri dan ke kanan. Mencari maklumat yang dimahukan. Senyum melebar apabila apa yang dimahukan terbentang di hadapan telefon bersaiz 5 inci itu. Aplikasi planner itu sentiasa penuh dengan pelan perancangan harian, bulanan dan tahunannya.

Sudah hampir setahun, dia menyenaraikan perkara-perkara yang mahu dilakukan sepanjang tahun 1436. Dia mengucap syukur kerana hampir 80 peratus segala impiannya tercapai. Dia memang begitu sedari kecil. Lebih suka meraikan Awal Muharam daripada tahun baru Masihi. Sejak dia mula menyedari kepentingan sambutan tahun baru iaitu sebagai penanda aras untuk dia melihat pencapaian kehidupannya sepanjang tahun. Sama ada pencapaian untuk bekalan duniawi apatah lagi ukhrawi.

Setiap manusia harus begitu. Lebih-lebih lagi umat Islam yang telah Allah SWT kurniakan pelbagai keistimewaan dan ganjaran terhadap setiap amalan yang dilakukan. Yang baik mahupun yang buruk. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka sesiapa pun tidak rugi walau sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun, pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.” (al-Anbiya’ 21: 47)

Lantaran kebaikan yang tidak pernah putus Allah kurniakan kepada setiap hambaNya, inilah asbab bahawa kita harus sentiasa berazam untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik setiap hari.

Saban tahun Maal Hijrah disambut. Ia penting kerana kita harus menganggap setiap tahun adalah sebuah penghijrahan. Penghijrahan yang menuju ke arah kebaikan. Sebagaimana sejarah yang tercatat dalam nota dakwah Baginda Rasulullah SAW. Kisah yang telah banyak dipaparkan kepada kita dan harapnya setiap yang bernama muslim, berupaya mengambil iktibar daripada falsafah yang Allah hadirkan di dalam peristiwa yang berlangsung 1436 tahun lalu.

Mehnah yang Allah SWT berikan dalam dakwah Rasulullah SAW  di bumi Makkah telah menghadirkan satu titik permulaan yang amat bersejarah apabila Rasulullah kemudiannya telah diperintahkan untuk berpindah ke Madinah al-Munawwarah. Ramai yang telah maklum dengan sirah tersebut. Hanya penghayatan untuk mengambil iktibar dari kisah penuh bersejarah itu mungkin masih belum diusahakan sepenuhnya oleh umat Islam.

Sesungguhnya hijrah itu amat besar maknanya. Rasulullah SAW sendiri pasti tidak menyangka penghijrahan baginda telah membawa sinar yang amat bermakna dalam penyebaran Islam. Namun, atas kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah SWT sebaik-baik Perancang dan Pelaksana, baginda dengan penuh rela berhijrah bersama dengan para sahabat.

Hijrah ini adalah sebagai penanda aras untuk kita bermuhasabah tentang kelemahan yang membelenggu umat Islam masa kini. Usah salahkan musuh-musuh Islam kerana sejak dari dahulu mereka tidak pernah melihat Islam sebagai agama yang harmoni.

Sudah tiba masa dan ketikanya untuk kita bertindak membangunkan kembali Islam dengan melihat kepada tiga perkara berikut.

  • Membaca, memahami, meneliti ayat-ayat suci al-Quran al-Karim
  • Mendalami dan mengkaji sejarah Islam
  • Menuntut ilmu fardhu ain seperti tauhid dan feqah serta ilmu fardhu kifayah seperti ilmu sains dan teknologi

Kita menyedari dalam erti kata amat sedar, bagaimana orang Yahudi sendiri mengkaji dan mendalami isi al-Quran. Tujuannya bukan untuk mendapatkan hidayah untuk diri mereka tetapi untuk mecari kesilapan seterusnya menjatuhkan Islam.

Bagaimana pula dengan kita? Alangkah bagusnya kalau kita dapat memperuntukkan masa seketika setiap hari untuk meneleku isi khazanah al-Quran yang tidak terhitung nilainya itu. Dalam buku Bukti Kebenaran Quran oleh Abdullah M. al-Rehaili, beberapa orang saintis barat telah menyatakan pandangan mereka tentang al-Quran.

“AI-Quran adalah kitab yang menakjubkan yang menggambarkan masa lalu, sekarang, dan masa depan.” – Prof. Palmer , Ahli Geologi ternama Amerika Syarikat.

“Dengan membaca al-Quran, saya dapat menemukan jalan masa depan saya untuk investigasi alam semesta.” – Prof. Yoshihide Kozai , Guru Besar Universiti Tokyo dan Direktor The National Astronomical Observatory, Mikata, Tokyo, Jepun.

Sesungguhnya, di dalamnya terkandung pelbagai panduan, pengajaran, amaran, peringatan, keajaiban, penawar, ilmu pengetahuan yang jarang umat kita mahu mempedulikannya. Sebenarnya, bukan tidak tahu tetapi tidak ambil pusing. Bagi sesetengah orang menganggap kerja-kerja mengkaji al-Quran ini diserah bulat-bulat kepada golongan agamawan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai manusia, telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuhan bagi penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Yunus 10: 57)

Sejarah Islam pada masa lampau pernah melalui zaman kegemilangan. Umat Islam digeruni dan dihormati. Namun, sayangnya umat Islam kini kehilangan identitinya. Umat Islam kini hanya bersalut pada namanya tetapi tiada rencah asli yang membalut jasad dan jiwa umat. Jati diri ummah semakin hari semakin luntur.

Isu perpecahan, kekejaman yang berlaku seperti di Syria dan Palestin, kemunculan ideologi baru seperti Syiah, Wahabi dan liberalisme, kemunculan IS yang disabitkan dengan umat Islam semakin menggusarkan.

Kenapa pentingnya sejarah Islam? Pernah baca tentang faktor yang membawa kegemilangan Islam suatu ketika dahulu? Pernah juga baca punca kejatuhan empayar Islam?

Sejarah ini penting bagi kita mengkaji dan mendalami kaedah, sistem, strategi dan teknik serta taktik yang digunapakai umat terdahulu. Kesemua elemen ini sebenarnya boleh diimplemenkan dalam pentadbiran dan pengurusan pada hari ini. Ia pasti tidak lari daripada apa yang ada sekarang tetapi cara pelaksanaan pastinya lebih moden.

Antara faktor kejatuhan tamadun Islam yang pernah cemerlang dahulu adalah kerana sikap pemimpin yang terlalu taksub dengan kuasa dan pangkat. Ketaksuban tersebut telah mendorong mereka menghalalkan matlamat untuk mendapatkan kekayaan dan kemewahan.

Sebab itu kita perlu mempelajari sejarah. Ia bukan benda yang lapuk kerana sejarah itu juga seperti roda yang berpusing. Ia sentiasa berputar dan menempuhi zaman terang dan gelapnya. Kita tidak mahu umat Islam dipandang rendah dan dilabel sebagai umat yang mundur dan malas mengkaji. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.” [Riwayat Muslim dalam Shahihnya (penomboran Fu’ad Abd al-Baqi), hadis no: 2699].

Kepentingan menuntut ilmu merupakan tunjang utama kepada pembentukan menjadi individu dan bangsa yang disegani. Oleh sebab itu, Allah SWT menyediakan pelbagai ilmu yang amat luas ruang lingkupnya untuk diteroka oleh umat manusia di dunia ini.

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.”  Ini merupakan nas yang sering ditekankan tentang kepentingan dan kewajipan menuntut ilmu.

Hari ini, telah ramai cendekiawan, ilmuan dan penyelidik datang dari kalangan umat Islam. Kita melihat ia sebagai perkembangan yang sangat membanggakan. Namun, kita juga pula sedar yang dalam tahap sebegitu kita juga sebenarnya masih ketinggalan daripada orang barat. Ia adalah tentang tindakan kita. Sama ada kita masih mahu berada dalam zon selesa ataupun mula bertindak untuk membangunkan kembali Islam.

Hari ini, 10 Muharam Tahun 1437…sudah tiba masa umat Islam bangkit dari tidur lena yang panjang selama ini. Kita mahu setiap tahun sambutan awal Muharam diiringi dengan cita-cita mahu membangkitkan semula umat Islam menjadi umat yang dikagumi kerana keintelektualan dan akhlak yang benar-benar menggambarkan keindahan Islam. Selamat tahun baru!

Editor.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *