Home » Ensiklopedia » Sulalatus Salatin: Bacaan wajib fahami sejarah Melayu

Sulalatus Salatin: Bacaan wajib fahami sejarah Melayu

sumber

Tidak ada kitab dalam kepustakaan orang Melayu yang lebih penting daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Terdapat banyak versi kitab ini, khabarnya lebih 30, yang paling popular diusahakan oleh WG Shellabear. Seorang pengkaji dan penulis tempatan, A Samad Ahmad telah menerbitkan versi DBP yang membawa judul Salatus Salatin. Kitab ini dipercayai ditulis oleh seorang pujangga, sejarawan dan ilmuwan Melayu terkenal bernama Tun Sri Lanang.

Sejarah Melayu memang patut menjadi bacaan wajib semua orang Melayu. Inilah kitab yang sebenarnya menggalurkan sejarah orang Melayu yang raja-rajanya dikatakan berasal daripada Iskandar Zulkarnaen hinggalah pada zaman Kerajaan Melayu Johor. Kitab ini bukan saja menumpukan perhatian pada kisah raja-raja dan orang-orang besar tetapi juga kisah rakyat jelata.

Pelbagai sumber

Seperti juga halnya dengan Salasilah Melayu dan Bugis, Taufat al-Nafis dan Hikayat Raja-Raja Pasai, kitab Sejarah Melayu tidak boleh dilihat dalam konteks ‘sejarah’ hari ini. Kitab-kitab ini menggunakan pelbagai sumber termasuk mitos dan legenda bagi meriwayatkan sejarah. Ada kalanya sukar diterima insiden atau episod yang digambarkan sebagai sejarah. Tetapi bahan-bahan yang dianggap tidak objektif dan tepat ini punya peranannya yang tersendiri. Oleh sebab itu kitab Sejarah Melayu dikategorikan sebagai historiografi Melayu.

Dalam Sejarah Melayu, salah seorang daripada keturunan Iskandar Zulkarnaen bernama Sang Sapurba mengahwini Wan Sendari, anak Demang Lebar Daun di Bukit Seguntang. Perkahwinan inilah yang memulakan ‘sumpahan’ raja-rakyat, di mana raja tidak boleh menzalimi rakyat dan rakyat tidak boleh menderhakai raja. Persetiaan inilah yang diguna pakai dalam konteks kesetiaan pemerintah dengan yang diperintah sehingga ke hari ini.

Sejarah Melayu memancarkan nilai, pandangan dunia dan psyche orang Melayu. Terlalu banyak peristiwa di dalamnya yang memberikan bayangan bagaimana legitimasi raja diperkukuh melalui mitos dan legenda. Terlalu juga terdapat banyak cerita penganiayaan yang dilakukan ke atas rakyat. Juga cerita tentang gagalnya orang Melayu menghormati kepandaian dan kecerdikan seperti yang berlaku pada budak yang menyelamatkan Singapura daripada dilanggar todak.

Lihat sahajalah makna kesetiaan yang ditunjukkan oleh Hang Tuah dalam Sejarah Melayu. Berbeza dengan Hikayat Hang Tuah, teman Hang Tuah yang menderhaka adalah Hang Kasturi. Pengabdian Hang Tuah mutlak terhadap rajanya. Orang Melayu pada masa itu tidak ada pilihan melainkan bersetia pada rajanya. Kegagalan berbuat demikian mengakibatkan malapetaka luar biasa. Lihat sahaja apa yang berlaku pada Sang Rajuna Tapa yang belot di Singapura kerana membuka gerbang untuk kemasukan tentera Betara Majapahit, dia dan isterinya menjadi batu dan beras di rumahnya menjadi tanah.

Terlalu banyak kisah dalam Sejarah Melayu yang hebat dan luar biasa, malah menjadi potensi bahan filem dan drama TV. Badang merupakan Hercules Melayu dengan kekuatannya. Semerluki, panglima Bugis yang bersumpah tidak akan ke Tanah Melayu sekiranya batu yang dicampakkan ke laut, timbul. Tun Jana Khatib dengan keilmuan yang hebat lalu dicemburui raja. Tun Kudu harus menyerah dirinya pada Tun Ali bagi membolehkan adiknya Tun Perak menjadi bendahara. Sultan Muzafir Shah pernah dibuang menjadi nelayan. Raja China menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka. Jangan lupa kisah pengkhianat Raja Mendeliar dan Si Kitul yang menyebabkan kehancuran Melaka.

Sejarah Melayu juga memuatkan kisah Bendahara Seri Wak Raja yang membunuh diri kerana berasa malu apabila pintu ditutup orang sewaktu beliau hendak masuk menghadap. Bendahara ini ayah kepada Tun Kudu dan Tun Perak. Juga kisah Sultan Alauddin Shah yang turun padang melihat rakyatnya di waktu malam.

Minda Melayu tak banyak berubah

Jangan lupa, penulis kitab ini mempunyai cara-cara yang tersendiri menyindir rajanya. Apabila Sultan Mahmud berkenankan Puteri Gunung Ledang, baginda bersedia sanggup menunaikan semua syarat yang dituntut, melainkan darah anaknya sendiri, Raja Ahmad. Sezalim-zalim Sultan itu, baginda tunduk pada Maulana Yusof yang enggan membuka pintu rumahnya melainkan Sultan mengatakan beliau “Fakir Mahmud.”

Sejarah Melayu tidak lengkap tanpa drama, intrig, kisah percintaan, pengorbanan, pengkhianatan dan peperangan. Terlalu banyak yang boleh dipelajari daripada kitab ini. Nampaknya minda Melayu tidak banyak berubah daripada zaman yang diceritakan oleh Tun Sri Lanang dalam kitab ini. Melaka musnah kerana dengki dan dendam kesumat manusia yang berkepentingan.

Dunia politik Melayu harus belajar daripada kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin dan pembesar dalam kitab besar dan bermakna ini.

Sumber daripada ummatanwasan.net

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *