Home » Langit Terbuka » Bangkitkan perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aishah, jahat dan celupar

Bangkitkan perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aishah, jahat dan celupar

Mufti Perlis menjelaskan, Saidatina Aishah sendiri yang merupakan seorang yang kritis, malah sering mengkritik pelbagai hal berkaitan para sahabat Nabi Muhammad SAW, tidak pernah membangkitkan isu perkahwinannya. - Foto Warna Asia

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyifatkan mereka yang sengaja membangkitkan perkahwinan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah sebagai jahat dan bermulut celupar.

Beliau menjelaskan, hal demikian kerana Aishah sendiri yang merupakan seorang yang kritis, malah sering mengkritik pelbagai hal berkaitan para sahabat Nabi Muhammad SAW ketika itu, tidak pernah membangkitkan perkahwinan berkenaan.

“Begitu juga musuh-musuh Nabi Muhammad SAW kerana perkembangan fizikal khususnya wanita Arab pada masa itu, menjadikan perkahwinan itu (pada usia muda) adalah sesuatu yang biasa.

“Bahkan masyarakat Melayu, Afrika dan Barat pun di zaman dahulu sama (berkahwin pada usia muda),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Asri seterusnya menjelaskan, selain daripada pendapat mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan Aishah yang masih muda, terdapat pengkaji yang menghitung semula dan mendapati isteri baginda itu adalah berusia belasan tahun iaitu antara 15 hingga 18 tahun ketika berkahwin.

“Dalam isu ini, harus diingat bahawa hanya Aishah sahaja yang berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW pada usia muda. Manakala isteri baginda yang lainnya adalah janda,” katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan seorang lelaki yang memuat naik status menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah dalam akaun Facebook miliknya baru-baru ini.

Berikutan itu, pada 19 Februari lalu, seorang lelaki berusia 68 tahun telah ditahan di rumahnya di Mentakab, Temerloh, Pahang bagi membantu siasatan susulan kes tersebut. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *