Home » Langit Terbuka » Hanya Anwar suarakan hak Palestin di peringkat global – Mufti Besar Australia

Hanya Anwar suarakan hak Palestin di peringkat global – Mufti Besar Australia

Anwar mempertahan hak rakyat Palestin di peringkat antarabangsa. - Foto hiasan AFP

KUALA LUMPUR: Ulama antarabangsa memuji keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahan hak rakyat Palestin ketika lawatan rasmi ke Jerman, Mac lalu.

Mufti Besar Australia, Syaikh Abdul Quddoos, berkata keberanian Anwar mempersoal sikap berat sebelah Barat dalam isu itu, dengan membangkitkan peristiwa Nakbah pada 1948 tidak dilakukan oleh mana-mana pemimpin sejak bumi Palestin diserang lapan bulan lalu.

“Saya menghormati semua mereka yang cintakan keamanan dan keberanian rakyat Palestin.

“Saya juga menghormati Perdana Menteri yang menjawab kepada Jerman apabila media bertanya beliau mengenai serangan 7 Oktober dan beliau bertanya, bagaimana dengan peristiwa Nakbah 1948?

“Itu keberanian. Tiada pemimpin atau pemerintah bertanya mengenainya dalam tempoh lapan bulan lalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulama Asia 2024 di sini, hari ini.

Pada sidang akhbar bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz di Berlin pada Mac lalu, Perdana Menteri dilaporkan oleh Agensi Anadolu (AA) mengkritik negara Barat kerana kurang bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza tetapi mereka mengecam Hamas.

Negara Barat, katanya, harus menghentikan sikap memilih-milih dan mempunyai perasaan yang bertentangan terhadap sesuatu.

Perdana Menteri berkata, beliau menolak keras naratif yang seolah-olah menggambarkan semua masalah itu bermula dan berakhir pada 7 Oktober, sedangkan ia bermula empat dekad sebelum itu dan berterusan setiap hari.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persekutuan Muslim Korea Selatan, Ahmad Cho Min Haeng, berkata dalam membentuk perpaduan sesama Islam atau dengan bukan Islam, pemimpin agama perlu melihat kepada model daripada sejarah Islam.

Beliau berkata, antaranya piagam Madinah dan dasar yang dilaksanakan di negara seperti Malaysia.

“Saya harap pemimpin agama boleh mengambil pengajaran daripada sejarah Islam lama dan moden untuk perpaduan serta keharmonian.

“Dengan itu, kita akan memperoleh hasil yang baik bagi memperkukuh hubungan antara pemimpin agama dan mempromosi perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya.

Ulama Sri Lanka, Sheikh Mohamed Hanifa Mohamed Yoosuff mencadangkan Malaysia melaksanakan program bagi meningkatkan profesionalisme imam masjid di negara ini.

Di Sri Lanka, katanya, mereka mencipta model dengan kerjasama ahli akademik bagi memberi peluang kepada imam, bukan untuk mempelajari bidang syariah tetapi cara untuk berhubung dengan masyarakat dan menyampaikan mesej.

“Imam dekat dengan masyarakat dan mereka akan bercakap kepada masyarakat setiap hari di masjid, terutama pada Jumaat.

“Justeru, golongan ini harus diperkasa supaya mereka tahu apa bahasa dan keperluan masyarakat, terutama golongan muda dan ia hanya boleh dilakukan di masjid,” katanya.

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *