Home » Wacana » Bangunkan belia bukan dengan hiburan

Bangunkan belia bukan dengan hiburan

Kritikan terhadap sebuah kumpulan rock terkenal yang mengadakan persembahan pada sambutan Festival Belia Putrajaya 2015 pada Mei lalu harus dilihat dari sudut mahu memberi teguran walaupun mungkin bahasa yang digunakan agak kurang manis.

Namun, saya melihat isu ini telah dimanipulasi oleh individu-individu yang tidak memahami maksud kritikan yang dilontarkan oleh tokoh tersebut. Jarang sekali masyarakat Islam Malaysia khasnya mahu mengambil sesuatu kritikan dari satu sisi yang berbeza dan menganalisis sesuatu kritikan untuk  tujuan kemaslahatan ummah.

Apabila artis kesayangan mereka dikutuk, cepat benar mereka melenting sedangkan artis tersebut hanya bersikap tenang dan merasakan itu semua rencah dalam kehidupan mereka sebagai anak seni.  Kalau dilihat secara zahir, status tersebut boleh menyebabkan kumpulan rock itu berkecil hati. Namun, mainan keyboard warrior yang bertindak sebagai batu api menjadikan isu yang kecil itu diperbesar-besarkan sehingga salah faham yang timbul berlarutan menjadi persengketaan.

Menyentuh tentang usaha Kementerian Belia dan Sukan dalam merangka pelbagai program untuk meraikan para belia pada setiap 15 Mei harus diberi pujian. Usaha ini bukan usaha yang kecil dan melibatkan puluhan tenaga kerja, peruntukan kewangan yang besar dan penglibatan serta kerjasama pelbagai pihak.

Era perubahan dalam Sambutan Hari Belia telah dimulakan oleh  Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek selaku Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2010. Beliau telah memberi wajah baru dalam sambutan Hari Belia berpusat di Putrajaya yang telah diisytiharkan sebagai Bandar Mesra Belia oleh Perdana Menteri. Pada tahun-tahun sebelumnya, sambutan hanya sekadar ‘ceremonial’ dan di peringkat negeri. Beliau dilihat sebagai menteri yang berpandangan jauh dan mahu memberi pendedahan yang lebih luas kepada para belia.

Rentetan daripada Sambutan Hari Belia Negara 2010, Himpunan Sejuta Belia 2011 dan Himpunan Jutaan Belia 2012 & 2013, sambutan ini terus diangkat menjadi Festival Belia Putrajaya di bawah kepimpinan Encik Khairy Jamaludin Abu Bakar pada tahun 2014 dan tahun ini.

Kita menghargai visi dan misi Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek bagi memberi pengiktirafan dan meraikan belia. Objektifnya adalah mahu menyerlahkan tenaga para belia dengan menunjukkan energi positif,  mencungkil bakat, menyerlahkan potensi dan menghantar mesej jelas kepada masyarakat bahawa mereka adalah aset berharga yang mampu sumbangan besar kepada pembangunan negara.

Walau bagaimanapun, di sebalik kemeriahan yang digembar-gemburkan itu, yang mengecewakan adalah pengisian yang dimuatkan di dalam acara-acara yang disenaraikan sepanjang 4 hari itu. Progam-program kerohanian turut diadakan dan berpusat di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra. Hanya di situ dan tidak memanfaatkan venue utama yang menampilkan artis-artis popular.

Sebagai rekod, Hari Belia Negara 2011 dengan sasaran 1 juta pengunjung telah menepati sasaran penganjur dengan pengisian sebanyak 200 acara meliputi pertandingan, program kerohanian dan keilmuan serta persembahan dan pertunjukan.

Metodologi mendekati belia hanya dilihat dari satu sudut sahaja iaitu melalui hiburan. Saya kira penganjur bukan mahukan pengisian setiap program itu dihayati tetapi mahukan crowd yang ramai. Crowd yang ramai melambangkan sesebuah program itu telah berjaya kerana telah menarik ramai orang untuk menyertai sesuatu acara. Oleh sebab itu, mereka mensasarkan jumlah pengunjung bukan mengukur sejauh mana keberkesanan program yang dilaksanakan mampu membina minda dan jiwa belia yang bebas daripada ideologi barat, berimej Malaysia dan memiliki fikrah dinamik sebagai pelapis kepimpinan negara.

Kita akui, belia sukakan hiburan malah sesiapa sahaja suka kepada hiburan. Tetapi untuk memberi kefahaman dan meraikan sambutan untuk mereka, hiburan bukan semata-mata sebagai medium. Masih banyak lagi pengisian yang boleh dimuatkan di dalam sambutan tersebut.

Tulisan ini bukan untuk mengkritik tetapi mahu bersama-sama memberi cadangan untuk menjadikan sambutan belia itu lebih bermakna. Sebagai cadangan yang mungkin kita lihat sukar untuk dipraktikkan ialah menanamkan kepada para belia kepentingan solat Subuh berjemaah. Orang Yahudi sendiri mengakui senjata umat Islam yang amat menakutkan mereka adalah apabila umat Islam menunaikan solat Subuh secara berjemaah 40 hari berturut-turut. Itu adalah lambang kekuatan dalaman umat Islam.

Begitu juga masalah yang yang berlaku di Malaysia dari dahulu hingga kini adalah kelompongan yang berlaku setiap kali masuk waktu solat. Masjid yang dibina dengan penuh gah lengang dan hanya penuh ketika Solat Jumaat. Orang bukan Islam sendiri tidak dapat melihatkan kesatuan yang jitu di kalangan umat Islam sekiranya tempat ibadah sendiri tidak diimarahkan.

Mari kita praktikkan. Setiap kali waktu solat di Putrajaya khusunya sewaktu sambutan hari belia, hentikan semua program dan ajak semua belia berserta para pimpinan belia untuk menunaikan solat fardhu walau di mana sahaja berada; di dewan, padang dan lapangan. Serlahkan mesej solat itu mudah dan boleh ditunaikan di mana sahaja. Mempraktikkannya perlukan permulaan. Kita akan mengandaikan segala yang susah tetapi kita sendiri tidak pernah mencuba.

Christopher Columbus pernah berkata sewaktu makan malam bersama kepada para pengikutnya, “Sesiapa yang mampu meletakkan telur ini secara berdiri, dia adalah seorang yang bijak.” Ramai yang mencuba namun tiada siapa pun yang berjaya. Lalu, beliau memecahkan sebahagian daripada telur itu lalu telur itu berdiri sebagaimana yang dimahukan. Christopher ditempelak oleh pengikutnya dengan berkata, kalau begitu kaeadahnya mereka juga boleh dan mampu melakukannya. Lantas jawab Christopher, “Ya, benar. Semua orang boleh melakukannya tetapi persoalannya sekarang siapa yang mahu memulakannya?”

Jadi, mulakanlah dan lakukanlah kelainan. Kelainan yang benar-benar boleh membangunkan jiwa dan semangat belia untuk membela agama, bangsa dan negara!

Editor.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *