Home » Langit Terbuka » ‘Bantuan melalui inisiatif #Musaadah diteruskan’ – Zulkifli

‘Bantuan melalui inisiatif #Musaadah diteruskan’ – Zulkifli

Gambar dalam hantaran Dr Zulkifli di Facebook beliau pada 16 Ogos. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR – Segala bantuan melalui inisiatif #Musaadah akan diteruskan meskipun Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tidak lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjadi antara pelopor inisiatif berkenaan.

Menerusi catatan dimuatnaik di akaun Facebook beliau petang tadi, Zulkifli memberi jaminan, inisiatif itu akan diteruskan demi manfaat dan kebajikan rakyat.

“Terima kasih kepada semua pihak berkuasa agama negeri yang memberikan kerjasama penuh bagi semua urusan hal ehwal Islam melibatkan Persekutuan-negeri. Pastinya ia adalah untuk manfaat rakyat khususnya umat Islam.

“RM591.9 juta telah diagihkan bermula Mac 2020 hingga hari ini melalui inisiatif #Musaadah sejak bermulanya pandemik COVID-19 oleh agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya. Saya minta mereka teruskan walaupun saya telah tiada.

“Semua inisiatif kami sepanjang 2002-2021 akan saya bentangkan dalam minggu ini, insya-Allah. Rakyat perlu tahu ke mana setiap sen zakat, infaq, waqaf yang mereka salurkan melalui kami,” katanya.

Dengan peletakan jawatan Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri hari ini, Zulkifli memohon maaf atas segala kekurangan dan kelemahan beliau sepanjang berkhidmat selama 17 bulan enam hari.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas pelantikan sebagai senator dan menteri.

“Alhamdulillah, 503 hari yang penuh bererti. Amanah sebagai senator dan menteri adalah tanggungjawab dan penghormatan yang dilaksanakan sedaya upaya saya. Menjunjung kasih atas kepercayaan Tuanku kepada patik pacal yang senantiasa mendoakan kebaikan buat Tuanku.

“Sekalung penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memberi sepenuh keyakinan kepada saya untuk menyumbang kepada negara. Begitu juga tidak dilupakan rakan-rakan Kabinet yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan menzahirkan penghargaan buat mereka dengan menghadiahkan beberapa kitab seperti terjemahan Sahih al-Bukhari, Tafsir al-Quran al-Bayan dan terjemahan al-Quran versi al-Bayan untuk umat Islam di negara ini.

“Insya-Allah, tiga kitab yang pasti menempa sejarah dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan ini sedang dalam urusan percetakan. Saya akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *