Home » Langit Terbuka » Bapa maafkan pembunuh anak terima anugerah Ikon Rahmatan Lil Alamin

Bapa maafkan pembunuh anak terima anugerah Ikon Rahmatan Lil Alamin

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud. - Foto FB

PUTRAJAYA – Dua tahun lalu, Dr Abdul Munim Sombat Jitmoud, menyentuh perasaan puluhan jutaan orang apabila video beliau memaafkan lelaki yang dituduh terbabit pembunuhan anaknya di mahkamah di Amerika Syarikat (AS), tersebar dan dilaporkan secara meluas di seluruh dunia.

Klip video di dalam mahkamah pada 7 November 2017 itu menunjukkan Dr Abdul Munim, 68, mengejutkan semua yang hadir, malah hakim tidak dapat menahan air mata, apabila dia memaafkan tertuduh, Trey Alexander Relford.

Dr Abdul Munim, warga AS yang berasal dari Thailand, kemudian memeluk Relford yang menangis teresak-esak sambil meminta pengampunan ke atas perbuatannya.

Relford, ketika itu berusia 24 tahun, berdepan hukuman mati selepas mengaku bersalah bersubahat dalam pembunuhan Salahuddin Jitmoud, 22, yang menjadi mangsa rompakan sebelum ditikam ketika menghantar piza pada malam April 19, 2015, di Lexington, Kentucky.

Atas tindakannya yang memberi imej positif terhadap Islam, beliau yang berada di Malaysia sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) 2019 dianugerahkan Ikon Rahmatan Lil Alamin yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di Kompleks Islam Putrajaya pada 19 Disember.

Sementara itu, Mujahid berkata tindakan murni Dr Abdul Munim memaafkan pembunuh anaknya, mencetuskan kehebatan sifat Islam kepada masyarakat dunia dan secara kebetulan konsep kesederhanaan itulah yang diperjuangkan kerajaan melalui Dasar Rahmatan Lil Alamin.

“Atas jasa besar beliau yang dibuktikan melalui konsep kerahmatan, kita menganugerahkan beliau Ikon Rahmatan Lil Alamin,” katanya.

Sementara itu, Dr Abdul Munim berkata, beliau mendapat kekuatan memaafkan lelaki yang didakwa terbabit dalam pembunuhan anaknya kerana mengikuti apa yang Allah ajar melalui al-Quran.

“Setiap manusia buat silap, Allah sebut dalam al-Quran jika kita memaafkan sesama manusia, Allah akan maafkan segala kesalahan kita, jadi saya beritahu anak-anak yang ini peluang baik untuk maafkan dia (tertuduh) dan beri dia peluang kedua.

“Saya harap hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya akan diringankan,” katanya.

Ketika ditanya apakah perkara utama perlu dilakukan oleh umat Islam di Malaysia untuk menjadi umat yang bersatu, beliau berkata, semua orang mesti menyayangi sesama ahli keluarga dan masyarakat, selain mengikuti ajaran al-Quran. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *