Home » Lagenda » ‘Bapa Minyak Wangi,’ Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq Al-Khindi

‘Bapa Minyak Wangi,’ Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq Al-Khindi

Dilahirkan pada tahun 194M, beliau merupakan tokoh atau ahli falsafah Muslim pertama keturunan Arab dari suku Kindah dan menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Nama sebenar beliau ialah Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq Al-Khindi. Bapanya adalah Gabenor Kufah pada masa pemerintahan Khalifah Abbasiyah di bawah khalifah al-Mahdi dan Harun ar-Rashid.

Minatnya terhadap ilmu falsafah begitu tinggi terutama ketika beliau mengunjungi Baghdad. Di sini juga Khalifah Al-Ma’mun telah mendirikan Baitul hikmah dan mempengaruhi beliau untuk menimba ilmu. Di sinilah akhirnya beliau dikenali sebagai seorang sarjana terkemuka.

Pendidikannya bermula di Kufah, kemudiannya di Basrah, dan akhirnya di Baghdad. Pengetahuannya tentang ilmu falsafah amat tinggi dan menurut beliau falsafah harus diterima sebagai sebahagian peradaban Islam.

Satu daripada matlamat utama falsafahnya adalah untuk menggabungkan antara falsafah dan teologi alam di suatu pihak dan teologi spekulatif dan diwahyukan di suatu pihak yang lain (bagaimanapun beliau menolak teologi spekulatif). Beliau menekankan, wahyu adalah sumber pengetahuan yang lebih hebat kerana akal pemikiran tidak boleh mendedahkannya.

Hasil kerjanya amat penting kerana beliaulah sosok yang memperkenalkan dan mempopularkan falsafah Yunani di kalangan cendekiawan Muslim. Kebanyakkan perbendaharaan falsafah ‘piawaian Arab’ berasal daripadanya.

Beliau merupakan seorang pakar dari pelbagai bidang pemikiran yang berbeza; pakar dalam muzik, falsafah, astronomi, perubatan, geografi, dan matematik. Selama hayatnya, (dan untuk kira-kira seabad selepas itu) beliau di anggap sebagai ahli falsafah Muslim yang paling berpengaruh dan ahli falsafah berketurunan Arab paling agung.

Walaupun seorang pengamal perubatan, beliau turut memberi sumbangan besar dalam bidang farmasi. Salah satu sumbangan yang terpenting dalam bidang ini ialah karya beliau yang diterjemahkan dalam bahasa Latin berjudul ‘De Medicinarum Compositarum Grabidus dus Investigandis Libellus.’

Beliau merupakan individu pertama yang menentukan dan menggunakan dos ubat yang betul untuk kebanyakan daripada jenis dadah yang terdapat pada masa itu. Rahsianya adalah dengan menggunakan prinsip matematik dalam perkiraan dos ubat. Sebagai contoh, beliau menghasilkan skala matematik untuk menyukat kuantiti dan kekuatan ubat atau dadah dalam sistem badan. Ini memudahkan doktor mengenal pasti penyakit dan menentukan ketahanan badan manusia.

Selain itu, dalam karyanya yang berjudul ‘Aqrabadhin’ (formula perubatan), beliau banyak menghasilkan kandungan atau dos ubat-ubatan termasuk dadah yang diformulasikan dari haiwan dan sumber mineral.

Kitab ‘Kimiya al-Itr’  iaitu buku mengenai penghasilan minyak wangi melalui bahan-bahan kimia juga merupakan karya beliau yang menceritakan mengenai kandungan dan keperluan alkohol dalam perubatan dan penghasilan bahan-bahan kimia. Sebagai ahli kimia, beliau telah menghasilkan larutan alkohol sebagai sebatian asli yang menghasilkan tapisan asli alkohol dari tapisan air anggur(wain).

Beliau juga telah menghasilkan pelbagai minyak wangi sehingga digelar ‘bapa industri minyak wangi.’ Beliau memperoleh hasil mengenai minyak wangi melalui penyelidikan yang mengabungkan pelbagai tumbuhan dan pelbagai bahan untuk menghasilkan sesuatu produk.

Tidak berhenti di situ sahaja, beliau mengembangkan hasil kerjanya dari minyak wangi kepada bahan-bahan kosmetik dan kecantikan. Dalam karyanya, bahan-bahan untuk menghasilkan minyak wangi ialah minyak asli, pati wangi dan air untuk mengantikan alkohol. Malah, beliau jugalah yang telah menghasilkan kapur barus.

Al-Khindi… namanya cukup terkenal seantero dunia. Al-Khindi menulis sekurang-kurangnya 250 buah buku, kebanyakannya dalam bidang geometri, falsafah, perubatan, ilmu logik, psikologi, muzik dan fizik. Pengaruhnya dalam bidang tersebut adalah meluas dan berpanjangan selama beberapa abad. Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq al-Khindi juga aktif dalam bidang terjemahan. Beliau adalah antara penterjemah awal yang terlibat dalam menterjemahkan hasil karya dalam bidang Yunani ke dalam bahasa Arab.

Antara sumbangan besar al-Khindi ialah 11 buah teks yang menerangkan mengenai nombor dan analisisnya. Al-Khindi memberikan sumbangan besar dalam perkembangan ilmu pengetahuan. Selain menulis banyak buku, beliau juga membantu para penguasa dalam merancang dan membina terowong, jambatan, alat peperangan dan alat pengukur ilmiah. Sebagai ahli kimia, beliau telah berhasil mensintesiskan beberapa campuran dan berjaya menghasilkan peralatan perang, kaca, perhiasan dan minyak wangi, melalui proses kimia, seperti penyulingan, penguapan, peleburan, dan pengendapan.

Kebanyakkan hasil karya Al-Khindi telah hilang dan dipercayai dimusnahkan bersama Kota Baghdad akibat serangan tentera Mongol. Bagaimanapun beberapa yang terselamat adalah dalam bentuk terjemahan Latin oleh Gherard Cremona, dan yang lain ditemui dalam bahasa Arab. Namun, apa yang penting, 24 buah hasil karya beliau yang hilang telah dijumpai semula.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *