Home » Langit Terbuka » Qari Malaysia juara tilawah al-Quran di Moscow

Qari Malaysia juara tilawah al-Quran di Moscow

SEPANG 27 Sept.– Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kali menjuarai Tilawah al-Quran Antarabangsa Moscow Ke-17 dalam pertandingan yang diadakan di ibu negara Rusia itu pada 22 hingga 25 September lalu.

Abdullah Fahmi Che Nor, 32, dari Kelantan yang pertama kali menyertai tilawah itu tidak menyangka meraih kemenangan tersebut memandangkan turut berdepan peserta yang hebat da­ri beberapa buah negara seperti Yemen, Bahrain, Turki dan Tanzania.

“Saya terkejut dengan kemenangan ini. Apatah lagi peserta dari beberapa negara lain turut memperdengarkan bacaan yang sangat cantik termasuk tajwid dan hukum-hukum tajwid.

“Sepanjang di sana, saya dapat banyak pengalaman, dapat bertemu dengan hampir 30 peserta dari pelbagai negara. Saya amat bersyukur,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Rusia di sini hari ini.

Ketibaannya disambut oleh Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd. As’ari Abdan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Jakim, Ahmad Zaki Md. Nor serta Pegawai Seksyen Komunikasi Korporat Jakim, Mohd. Nadzri Mustakim dan Noor Syarizal Md. Numar.

Pertandingan berprestij anju­ran Majlis Mufti Rusia itu mempertandingkan dua kategori iaitu kategori tilawah dan kategori hafazan al-Quran dengan disertai 30 buah negara.

Abdullah Fahmi yang pernah menduduki tempat kelima dalam majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan sebelum ini, membawa pulang AS$5,000 (RM20,500) berserta plak dan sijil penyertaan.

Pada kategori tilawah al-Quran itu, tempat kedua dime­na­ngi Yusuf Abdullah dari Ye­­men dan Solah Ali Umar (Bahrain) di tempat ketiga.

Abdullah Fahmi seterusnya merakamkan penghargaan kepada Jakim yang telah memilihnya untuk mewakili negara dan segala sokongan yang diberikan kepadanya untuk menyertai tila­wah itu.

https://www.utusan.com.my

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *