Home » Langit Terbuka » Bazar Ramadan bukan penyumbang peningkatan kes Covid-19

Bazar Ramadan bukan penyumbang peningkatan kes Covid-19

Komuniti yang mengadakan bazar hendaklah meneliti secara menyeluruh bagaimana penularan berlaku dan apakah tindakan yang terbaik untuk mengekang peningkatan kes, kata bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Rohaizat Yon. - Foto NSTP

SHAH ALAM – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menafikan bahawa bazar Ramadan menjadi penyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di beberapa buah negeri baru baru ini.

“Bazar bukan penyebabnya, punca utama adalah bila tidak ada kepatuhan pada Prosedur Operasi Standard (SOP). Jika semua patuh pada SOP yang telah ditetapkan, tiada kes dan jangkitan Covid-19 akan berlaku.

“Apabila terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan, penilaian risiko akan dijalankan dan sebarang keputusan sama ada arahan penutupan ataupun tidak adalah bergantung kepada hasil penilaian risiko tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut menyokong ulasan tersebut, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, peningkatan kes Covid-19 masih dapat dikawal jika mematuhi SOP dengan betul.

“Pada masa ini masih lagi dalam keadaan yang boleh dikawal kalau semua pihak memainkan peranan untuk jaga penjarakan fizikal, pakai topeng muka dan cuci tangan.

“Apabila banyak sektor dibuka dan banyak kelonggaran diberi, memang ada risiko di situ. Jadi SOP itu amat penting untuk dipatuhi,” katanya.

Namun, beliau juga menyokong cadangan bazar Ramadan perlu ditutup jika terdapat kes di tempat tersebut yang boleh menyebabkan penyebaran Covid-19 kepada penduduk setempat.

“Kalau di tempat itu terbukti ada kes mungkin akan ditutup dan KKM perlu buat penilaian risiko bagi mengenal pasti puncanya di mana,” katanya.

Beliau turut berkata, impak penutupan bazar akan menjejaskan ekonomi negara terutamanya golongan yang bekerja sendiri dan B40.

“Jika bazar ditutup ketika bulan puasa ini, ia akan menjejaskan ekonomi yang kebanyakannya melibatkan peniaga golongan B40 dan bekerja sendiri.

“Oleh itu, komuniti yang mengadakan bazar tersebut hendaklah meneliti secara menyeluruh bagaimana penularan itu berlaku dan apakah tindakan yang terbaik untuk mengekang peningkatan kes,” katanya.

Azmi dan Rohaizat diminta mengulas mengenai satu video tular di media sosial yang mempertikai mengenai data KKM serta meminta tidak mengaitkan peningkatan kes Covid-19 dengan kluster bazar Ramadan dan Tarawaih. – Sinar Harian

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *