Home » Citra Yadim » Bengkel Pendakwah Bahasa Mandarin 2018

Bengkel Pendakwah Bahasa Mandarin 2018

JOHOR BAHRU – Seramai 32 orang pendakwah telah menamatkan Bengkel Train The Trainers (ToT) Pendakwah Bahasa Mandarin 2018 yang diadakan di Hotel Swiss Inn di sini pada 22 dan 23 Disember lalu.

Ia merupakan program anjuran bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Selatan, Persatuan Cina Muslim Johor (MACMA JOHOR), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Negeri Johor (PERKIM) dan Yayasan Yara.

Bengkel khusus untuk pendakwah berbahasa Mandarin ini mula diadakan pada 11 Mac 2018 bertempat di hotel yang sama.  Ia diadakan sekali sebulan sepanjang tahun 2018. Bagi sesi pertama seramai 41 orang peserta telah mengambil bahagian dan mereka ini juga meneruskan sesi seterusnya pada bulan-bulan yang berikutnya berdasarkan komitmen mereka terhadap perjalanan sesi pertama.

Antara objektif bengkel ini adalah untuk melahirkan pendakwah di kalangan saudara baru disamping memberi pendedahan kepada mereka tentang teknik berdakwah dan isu semasa yang berkaitan serta mempelajari asas-asas agama untuk memudahkan gerak kerja dakwah dalam pelbagai bahasa.

Program ini berbentuk bengkel sehari dan diadakan sebanyak 3 slot setiap hari bagi mempelajari teknik berdakwah, selain diadakan sesi soal jawab bagi merungkai permasalahan yang dihadapi oleh mereka bagi menjalankan kerja dakwah terhadap keluarga yang masih belum Islam.  Bengkel ini dikendalikan sepenuhnya oleh penceramah dengan bahasa Mandarin.

Antara penceramah yang hadir bagi mengendalikan bengkel ini ialah Brother Lim Jooi Soon (Penasihat PERKIM Cawangan Ampang), Dr. Jaysuman (Pensyarah Kanan UTM, Skudai), Prof. Madya. Dr. Fatin Aliah Phang Bt Abdullah (Pensyarah Kanan UTM, Skudai) dan Puan Sarah Cui Bt Abdullah (Ketua Bahagian Mandarin, Brainybunch International Montessori School)

Untuk sesi penutup pada 23 Disember 2018 lepas, para peserta telah dinilai tentang tahap kefahaman mereka sepanjang sesi pembelajaran tahun 2018 ini.   Peserta diberi tugasan untuk menjawab soalan yang sering diajukan oleh golongan bukan muslim dengan cara yang mereka mudah fahami melalui rakaman yang disediakan oleh pihak Unit Dakwah Siber (UDS) YADIM.

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *