Home » Langit Terbuka » Bertegas isu Palestin, Malaysia terima tiga notis dari Kedutaan AS

Bertegas isu Palestin, Malaysia terima tiga notis dari Kedutaan AS

Perdana Menteri ketika Himpunan Malaysia Bersama Palestin baru baru ini. - Foto The Diplomat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan negara pernah menerima ‘demarche’ (tatatindak) sebanyak tiga kali daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sebagai salah satu tekanan susulan pendirian tegas Malaysia dalam menentang kezaliman zionis Israel.

Menurut beliau, tatatindak yang diterima itu berikutan keengganan negara dalam membantah tindakan Hamas dan menganggapnya sebagai badan pengganas.

“Demarche itu bukan pendirian neutral. Bila satu negara luar memberi tatatindak, maknanya mereka ada ‘concern’ (kebimbangan), bukan sekali tetapi tiga kali.

“Sekali kepada Duta Besar, dua kali pada 13 dan 30 Oktober. Sebab itu, kita anggap ini sebagai suatu peringatan tetapi jawapan kita tegas terutama melibatkan Hamas.

“Sebagai contoh Duta Besar kita di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat dan ditekan mengenai pendirian negara berkenaan isu Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut menggesa rakyat Malaysia supaya tidak menjadikan isu konflik Palestin-Israel demi kepentingan politik.

“Tidak usahlah dipolitikkan, masing-masing ada pendirian mungkin ada sedikit perbezaan kecil tentang cara tindakan tetapi jangan anggap ini isu yang boleh kita permainkan untuk mendapat kepentingan politik.

“Seperti mana yang pernah disebut dalam leluhur perbahasan bangsa Melayu, jangan kita membina mahligai di atas pusara.

“Orang derita banyak terkorban, jangan kita mahu gunakan ini sebagai mahligai politik atas pusara rakyat,” ujarnya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *